KUALA SELANGOR – Enam buah kedai termasuk sebuah kedai emas musnah dalam kebakaran di berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Besar Tanjong Karang di sini malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 11.27 malam itu menyebabkan hampir keseluruhan bangunan kedai setingkat terbabit hangus dijilat api.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, seramai 16 anggota termasuk pegawai dari empat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman.
Menurut beliau, operasi itu melibatkan anggota dari BBP Tanjong Karang, Kuala Selangor, Sekinchan dan Klang Utara dengan bantuan lima jentera termasuk Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS)
“Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan enam buah kedai dengan anggaran kemusnahan 90 peratus.
“Premis yang terbakar terdiri masing-masing dua bagi kedai ubat dan alat telekomunikasi selain sebuah kedai emas dan sebuah pasar mini,” katanya hari ini.
Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasat. – KOSMO! ONLINE














