JAWATAN Presiden Kehormat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) wajar dikekalkan selepas terdapat dakwaan kemungkinan jawatan tersebut bakal dipinda menjelang Kongres Luar Biasa, Khamis ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang, Mohd Azizudin Mohd Shariff mengakui terkejut dengan spekulasi tersebut kerana draf yang diterima pada awalnya, jawatan Presiden Kehormat FAM masih dikekalkan.
Azizudin berkata, statut baharu itu adalah hasil proses reformasi yang dilaksanakan dengan pembabitan serta panduan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
“Justeru, kenyataan bahawa jawatan itu akan dihapuskan adalah sesuatu yang menghairankan kerana peruntukan mengenainya masih jelas terkandung dalam draf statut yang dicadangkan untuk diluluskan oleh Kongres.
“Sewajarnya jawatan Presiden Kehormat ini terus dikekalkan. Ini kerana jawatan Presiden Kehormat adalah peranan simbolik (ceremonial) yang dianugerahkan sebagai tanda penghormatan tertinggi kepada individu tertentu,” katan
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri menegaskan bahawa pelantikan Hamidin sebagai Presiden Kehormat diluluskan secara sah oleh ahli gabungan menerusi Kongres Luar Biasa FAM tahun lalu.
Mohd Saiful berkata, sebarang tanggapan bahawa jawatan itu akan dimansuhkan adalah tidak tepat dan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli gabungan yang juga pemegang taruh bola sepak negara.
“Ini menunjukkan bahawa kewujudan jawatan itu bukan sahaja diiktiraf, malah terus diberi ruang dalam kerangka tadbir urus baharu yang dicadangkan.
“Apa yang dibentangkan menerusi Kongres Luar Biasa itu nanti adalah sebahagian daripada proses reformasi dan penambahbaikan statut bagi memastikan tadbir urus FAM sentiasa selaras dengan amalan terbaik yang digariskan oleh AFC dan FIFA.
“Sebarang pindaan yang dicadangkan tidak seharusnya ditafsirkan sebagai usaha untuk menamatkan atau menafikan pelantikan yang sudah diputuskan dan diluluskan oleh Kongres sebelum ini,” katanya.
Sebagai rekod, Tan Sri Hamidin Mohd Amin dipilih menjadi Presiden Kehormat FAM selepas memilih untuk tidak pertahankan jawatan Presiden FAM pada tahun lalu. – KOSMO! ONLINE














