Kumpulan Pendidikan Antarabangsa di Cambridge University Press and Assessment (Cambridge) telah mengumumkan Penolong Pengetua, Dr. Velerie Wheelervon Primus sebagai pemenang serantau Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2026 bagi zon Asia Tenggara dan Pasifik.
Dr. Velerie yang juga Guru Pendidikan Pelajar Berkeperluan Khas telah dipilih oleh panel juri atas komitmen jitu beliau dalam menerajui agenda inklusiviti serta memacu transformasi sektor Pendidikan Khas di kawasan luar bandar Sabah.
Beliau merupakan salah seorang daripada sembilan pemenang serantau bagi pertandingan global Cambridge yang mengiktiraf kecemerlangan guru di seluruh dunia.
Sebagai pemenang, beliau menerima sumbangan buku bernilai 500 pound (RM2,680) untuk kegunaan kelasnya, sebuah trofi serta liputan media buat diri dan sekolahnya.
Selain itu, penghargaan buat Dr. Velerie akan diabadikan pada ruangan khas ‘Thank You’ dalam naskhah buku teks terbaharu terbitan Cambridge yang akan mula dipasarkan pada November depan.
Ketika ini, Dr. Velerie berkhidmat sebagai Penolong Pengetua bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan Bingkor, Sabah.
Beliau bertanggungjawab merangka sistem pendidikan inklusif bagi menangani keperluan unik pelajar neurodivergent, selain menyelia Rancangan Pendidikan Individu (RPI), membimbing para pendidik serta menjalin kerjasama erat dengan keluarga murid.
Beliau turut membangunkan NeuroArts Framework iaitu sebuah model berteraskan regulasi kendiri yang menyepadukan amalan terapeutik, pembelajaran berasaskan alam semula jadi serta elemen kesenian ke dalam sistem pendidikan.
Dr. Velerie juga telah diiktiraf sebagai pemimpin pendidikan transformatif yang telah merevolusikan pendidikan inklusif serta usaha advokasi bagi kanak-kanak neurodivergent di kawasan luar bandar.
“Saya memilih untuk menjadi guru kerana saya percaya bahawa pendidikan bukan sekadar penyampaian ilmu.
“Sebaliknya, ia bertujuan untuk mengangkat martabat, membina ruang yang selamat serta memberi pelajar tempat untuk bernaung.
“Saya tidak menceburi kerjaya ini sekadar untuk meneruskan amalan sedia ada.
“Saya hadir untuk mencorak semula potensi pendidikan, terutama bagi mereka yang selama ini tidak didendangkan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.
Untuk makluman, Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge mengiktiraf peranan signifikan golongan pendidik dalam mencorak masa hadapan pelajar serta mempersiapkan mereka mendepani dunia luar.

Anugerah itu memberi peluang kepada pelajar, ibu bapa dan rakan sejawat untuk mencalonkan guru sekolah rendah mahupun menengah yang mempamerkan komitmen luar biasa dalam bidang pendidikan.
Pada masa sama, Dr. Velerie turut tercalon sebagai pemenang serantau yang akan merebut gelaran Pemenang Global Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2026.
Pada edisi tahun ini, pihak penganjur telah menerima lebih daripada 12,000 pencalonan melibatkan para pendidik dari 126 buah negara di seluruh dunia.
Pencalonan tersebut bukan sekadar sebagai tanda penghargaan atas dedikasi mereka dalam bilik darjah, malah turut mengiktiraf inisiatif luar biasa yang diambil oleh para guru bagi menjamin kesejahteraan serta kebahagiaan pelajar mereka.
Pengarah Urusan Kumpulan Pendidikan Antarabangsa di Cambridge, Rod Smith berkata, Dr. Velerie mengingatkan semua supaya sentiasa berusaha mewujudkan pembelajaran yang benar-benar inklusif.
“Kita bukan sekadar membantu golongan yang memerlukan, malah turut memperkaya ekosistem pembelajaran bagi semua pihak.
“Jadi, kita perlu menyantuni pelajar neurodivergent serta keluarga mereka, terutamanya di dalam komuniti yang mendepani cabaran besar,” katanya.
Smith menambah, Dr. Velerie telah membuktikan bahawa sifat prihatin dan keyakinan terhadap potensi setiap murid mampu mengubah kehidupan.
Katanya, itulah sebab utama beliau menjadi salah seorang penerima anugerah berkenaan.
“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemenang atas pencapaian luar biasa mereka.
“Kejayaan anda bukan sahaja menjadi sumber inspirasi buat kami di Cambridge, malah saya percaya ia akan menjadi pembakar semangat buat para pendidik di seluruh dunia,” katanya.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge, sila layari laman web, dedicatedteacher.cambridge.org/vote.














