BATU PAHAT – Adik kepada pemandu kereta BMW yang terlibat dalam kemalangan di kilometer 27 Jalan Renggam – Simpang Renggam berhampiran Penjara Simpang Renggam petang semalam ditahan reman selama dua hari bermula hari ini.
Perintah tahanan reman yang dikeluarkan oleh Majistret Mustaqim Sukarno keatas lelaki berusia 19 tahun itu bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sebelum itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majestrit Batu Pahat kira-kira pukul 10.30 bagi mendapatkan perintah tahanan reman keatasnya kerana dipercayai terlibat dalam kejadian yang mengorbankan lima orang mangsa petang semalam.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan kenderaan jenis BMW yang dipandu oleh Goh Yi Sheng, 22, dipercayai sedang berlumba dengan adiknya yang memandu kereta Mercedes Benz dari arah Renggam menghala ke Simpang Renggam.
Dalam kejadian itu, pukul 1.19 petang itu, kenderaan jenis Perodua Alza, Toyota Vios, Wira 1.5 dan Mercedes Benz dalam perjalanan dari arah bertentangan sebelum kereta BMW berkenaan dikatakan hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar empat kenderaan lain.
Akibat daripada kejadian itu, Mohd Aiman Mohd Rashid, 36, Nor Azlina Abd Latif, 33, Semek Mat Soh, 75, dan Nur Airish Syifa Sidek, 10, yang menaiki kereta Toyota Vios meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.
Yi Sheng turut meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital akibat kecederaan parah pada bahagian dada manakala lapan lagi mangsa lain yang mengalami kecederaan dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk rawatan. – KOSMO! ONLINE














