VALLETTA – Letupan dahsyat dari sebuah kilang bunga api di Malta menyebabkan dua orang cedera semalam, menghamburkan kepulan asap tebal dan serpihan ke langit, kata polis.
Kemalangan melibatkan kilang bunga api Ta’ Lourdes di utara pulau Mediterranean itu menggegarkan bangunan-bangunan sekitarnya, demikian menurut klip video yang disiarkan akhbar tempatan, Times of Malta dan Malta Today.
Beberapa saksi berkata, letupan pertama berlaku kira-kira pukul 6.35 pagi(waktu tempatan), diikuti oleh letupan kedua yang sangat kuat
Dua lelaki yang cedera ringan sedang bekerja di ladang berhampiran apabila letupan berlaku, kata polis di media sosial.
Menurut polis, tiada pekerja berada di kilang pada masa kejadian.
Siri letupan kecil lain kedengaran walaupun selepas beberapa jam letupan pertama berlaku, lapor Times of Malta.
Edward Mercieca yang tinggal berhampiran kilang tersebut memberitahu akhbar itu bahawa dia terjaga disebabkan bunyi letupan pertama.
“Ia seperti seseorang mengambil tukul sebesar lori dan mengetuk bahagian tepi rumah saya,” dia dipetik sebagai berkata oleh Times of Malta.
“Kepulan asap yang menjulang pasti setinggi 300 meter,” tambahnya. – AFP














