fbpx
Mohd. Hasrizal (tengah) bercakap kepada pemberita di Kem PGA Bidor hari ini.

Jaslinda hilang: Angin kuat, kanopi tebal cabaran Unit Udara JBPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAPAH – Tiupan angin kuat, keadaan awan berkelompok yang menjejaskan jarak penglihatan serta kanopi hutan tebal menjadi antara cabaran utama yang dihadapi Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49.

Timbalan Penguasa Bomba II, Kapten Mohd. Hasrizal Kamaruzzaman berkata, faktor persekitaran itu menjadikan operasi penghantaran anggota penyelamat menggunakan teknik winching lebih mencabar kerana ia perlu dilakukan di kawasan yang sempit dan dikelilingi pokok-pokok tinggi.

Katanya, tiupan angin dari kawasan lembah turut menjejaskan kestabilan helikopter, sekali gus menyukarkan juruterbang mengendalikan pesawat ketika operasi dijalankan.

“Apabila angin dari kawasan lembah ‘menolak’ pesawat, ia menyebabkan helikopter sukar distabilkan. Dalam keadaan tertentu, pergerakan winching juga boleh terjejas akibat tiupan angin.

“Kalau terlalu rendah, kita berisiko terkena pokok. Sebab itu untuk kawasan seperti ini kita perlu kekalkan jarak keselamatan sekitar 50 kaki dari puncak kanopi,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Hadapan (PKH) di Kem Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Hasrizal yang mengendalikan helikopter MI-17 berkata, operasi turut berdepan kesukaran kerana ketiadaan penanda khas seperti bendera atau isyarat visual yang memudahkan kru udara mengesan lokasi pasukan penyelamat di darat.

“Dalam operasi kali ini, kru di bawah pada awalnya juga sukar nampak pesawat. Bila kami bergerak lebih ke depan baru mereka sedar kehadiran helikopter dan berlari ke kawasan winching,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang berpengalaman 20 tahun dalam unit udara memberitahu, faktor masa turut menjadi aspek kritikal kerana ‘hoist’ yang digunakan untuk winching boleh menjadi panas jika operasi terlalu lama.

Katanya, setiap proses menurunkan anggota biasanya mengambil masa antara satu hingga dua minit bergantung kepada kecekapan kru dan pesawat.

Operasi SAR mengesan Jaslinda diaktifkan Isnin lalu selepas wanita itu dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih bersama 13 rakan pendaki lain serta dua malim gunung. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN