fbpx
Nik Alif Aiman menunjukkan laporan polis yang dibuat semalam.

Hanya sentuh pipi, Ketua UMNO Beruas nafi tampar cucu Nik Aziz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Azhar Ahmad menafikan dakwaan bahawa beliau menampar seorang pelajar yang juga cucu kepada Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam satu program di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), Janda Baik, Pahang pada 20 Mei lalu.

Azhar berkata, dakwaan yang tular menerusi rakaman video di media sosial itu adalah tidak benar dan tidak menggambarkan situasi sebenar yang berlaku.

Menurutnya, insiden tersebut berlaku selepas beliau selesai menyampaikan syarahan dan berjalan ke dewan makan sebelum diperkenalkan kepada Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kelantan.

“Ketika itu saya dimaklumkan bahawa beliau merupakan anak saudara kepada sahabat saya. Dalam suasana mesra, saya bersalaman dan menyentuh pipinya sebagai tanda kemesraan memandangkan hubungan saya dengan keluarganya.

“Tiada sebarang tamparan, serangan fizikal atau perbuatan kasar berlaku seperti yang didakwa,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan, kejadian tersebut berlaku secara terbuka di hadapan beberapa pihak termasuk pegawai Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM, urus setia program dan peserta yang berada di lokasi ketika itu.

Azhar turut melahirkan rasa kesal terhadap penyebaran rakaman video yang menurutnya tidak memaparkan keseluruhan konteks kejadian sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap dirinya.

“Saya menyeru semua pihak supaya meneliti fakta sebenar dan tidak menyebarkan dakwaan yang tidak berasas.

“Saya juga menyimpan segala hak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menerbitkan atau menyebarkan kenyataan palsu yang menjejaskan reputasi saya,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video yang mendakwa Azhar menampar seorang pelajar semasa program berkenaan sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN