SEBERANG PERAI – Penduduk Kampung Mengkuang Titi, Bukit Mertajam di sini bimbang akan keselamatan mereka apabila lori seberat 40 tan yang membawa muatan kelapa didakwa sering menjadikan laluan kampung sebagai jalan utama menuju ke sebuah kilang.
Situasi itu bukan sahaja mengundang risiko kemalangan, malah menyebabkan penduduk hidup dalam kebimbangan setiap kali kenderaan berat terbabit melalui kawasan kampung tanpa mengira masa.
Salah seorang penduduk, Mastura Zakaria, 40, berkata, kenderaan berat berkenaan bukan sahaja membuat bising dan kesesakan, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya termasuk kanak-kanak yang sering berbasikal terutama pada waktu petang.
“Sebelum ini pernah berlaku kejadian seorang penunggang motosikal terjatuh dan hampir terjerut akibat terlanggar wayar bergantungan yang ditarik lori terbabit.
“Selain itu, jalan di kawasan ini juga mula mendap dan berlubang, malah keadaan itu sudah berlarutan sejak dua tahun lalu,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Seorang lagi penduduk, Noorhidayah Khalid, 44, berkata, bahagian belakang rumahnya mula mengalami keretakan akibat gegaran setiap kali kenderaan berat itu melalui kawasan kediamannya.
“Itik peliharaan saya juga ada yang mati akibat dilanggar lori.
“Kilang itu sudah lama beroperasi dan sebelum ini kami tidak kisah kerana mereka hanya guna lori kecil bawa muatan kelapa, sejak dua tahun
lalu lori besar mula keluar masuk sehingga mengganggu ketenteraman penduduk,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Salleh Abd Rahim, 46, berkata, jalan terbabit tidak sesuai digunakan sebagai laluan kenderaan berat.
“Kami pernah buat perbincangan bersama pemilik kilang, namun selepas itu lori masuk semula macam biasa
“Pukul 3 hingga 4 pagi pun lori masih melalui kawasan ini sehingga menyebabkan penduduk terjaga, malah kami juga terpaksa mendengar bunyi bising kelapa yang dipunggah di kilang terbabit,” katanya.
Difahamkan, Majlis Bandaraya Seberang Perai telah mengeluarkan notis tindakan penguatkuasaan meruntuh binaan tanpa kebenaran membabitkan sebuah kilang pemprosesan kelapa pada Februari lalu, namun sehingga kini tiada tindakan susulan diambil.














