BENTONG – Polis mendedahkan laluan naik dan turun Genting Highlands yang berbukit dan berselekoh turut dijadikan lokasi berlumba selain tempat pemandu menguji kelajuan kenderaan masing-masing.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, aktiviti tidak bertanggungjawab itu menyebabkan pihak polis terpaksa mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara berkala bagi membendung perlumbaan haram.
“Berkaitan penguatkuasaan pula, pihak polis kerap melakukan penguatkuasaan ke atas semua jenis kenderaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya lain
“Penguatkuasaan dibuat kerana terdapat segelintir pihak menjadikan laluan untuk naik dan turun ke Genting Highlands sebagai lokasi untuk berlumba dan uji kelajuan kenderaan seperti kereta dan motosikal,” katanya kepada Kosmo! di sini, semalam.
Beliau berkata, keadaan jalan yang berbukit, menurun dan berselekoh merupakan cabaran kepada pemandu dengan kebanyakan kemalangan yang berlaku di laluan tersebut berpunca daripada sikap pengguna yang memandu secara melulu dan tidak mematuhi had laju.
“Jalan naik dan turun ke Genting Highlands adalah antara laluan yang boleh berlaku kemalangan jika seseorang itu memandu dengan melulu serta tidak patuhi had laju.
“Keadaan laluan naik dan turun ke pusat pelancongan tersebut yang berselekoh memerlukan pemandu peka dan memandu secara berhemah. Justeru itu, kemalangan yang sering berlaku di laluan tersebut kebanyakannya dari sikap pemandu kenderaan itu sendiri,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, aspek penyelenggaraan dan keadaan kenderaan turut memainkan peranan dalam menjamin keselamatan pengguna jalan raya, namun ia bukan penyumbang utama kepada kebanyakan kemalangan yang direkodkan di laluan berkenaan.
Menurutnya, pihak polis sentiasa menjalankan penguatkuasaan secara berkala terhadap semua jenis kenderaan yang menggunakan laluan tersebut bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.09 petang kelmarin, dua buah bas persiaran dan sebuah kereta jenis Perodua Aruz terlibat dalam kemalangan di Kilometer 16, Jalan Genting Highlands-Genting Sempah di sini.
Siasatan awal mendapati kedua-dua bas persiaran itu membawa pekerja sebuah kilang elektronik di Selangor yang menyertai program lawatan syarikat ke Genting Highlands.
Kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah bas persiaran yang membawa 38 penumpang dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang sebuah kereta dan seterusnya merempuh sebuah lagi bas persiaran di hadapannya.
Akibat kemalangan itu, tujuh individu mengalami kecederaan termasuk lima warga Bangladesh dan dua warga Nepal. Kesemua mereka yang cedera dihantar ke Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.














