fbpx
KEADAAN motosikal ditunggang pensyarah PUO yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta di Jalan Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Pensyarah Politeknik Ungku Omar maut kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Seorang pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Perkapalan, Politeknik Ungku Omar (PUO) maut selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan motosikal di Jalan Sultan Azlan Shah di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 10 pagi itu, mangsa, Sarafuddin Alang Osman, 59, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, kemalangan membabitkan motosikal jenis Benelli Napoleon 500 ditunggang mangsa dan sebuah Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 89 tahun.

Katanya, siasatan awal mendapati Perodua Myvi berkenaan dalam perjalanan dari arah Ipoh menuju ke Jalan Pinji Seni 5 sebelum pemandunya membelok ke kanan untuk memasuki satu simpang.

“Pada masa sama, motosikal yang ditunggang mangsa datang dari arah bertentangan telah melanggar bahagian hadapan sebelah kiri kereta tersebut.

“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat.

Katanya, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa akibat kecederaan pelbagai pada anggota badan susulan kemalangan kenderaan.

“Dalam kejadian itu, pemandu Perodua Myvi tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kedua-dua kenderaan yang terlibat telah ditahan bagi tujuan pemeriksaan oleh Puspakom, manakala usaha mengesan saksi bebas dan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) sedang dijalankan untuk membantu siasatan,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya.

“Setakat ini, tiada sebarang tangkapan dibuat dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN