fbpx
BROIDIE kini ‘mengabdikan’ hidupnya dengan menjahit busana-busana tradisional Kadazandusun demi menyambung nafas budaya anak-anak rantau Sabah di Semenanjung Malaysia khususnya ibu kota Kuala Lumpur. – IQBAL ROSLI

Dedikasi Broidie buat negeri, ‘kilang’ busana Kadazandusun di ibu kota

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUASANA Pesta Kaamatan di Kuala Lumpur pada tahun 2010 meninggalkan kesan mendalam buat Broidie Paul apabila dia melihat ramai masyarakat Sabah di Semenanjung hadir tanpa busana tradisional mereka.

Di sebalik kemeriahan sambutan budaya itu, timbul rasa sayu apabila identiti warisan Kadazandusun sukar diketengahkan oleh saudara seperantauan kerana kekurangan akses kepada pakaian tradisional tersebut.

Daripada pengalaman itulah tercetus ilham buat wanita berketurunan Dusun Tindal itu untuk mula menjahit dan menyediakan perkhidmatan sewaan pakaian tradisional Kadazandusun agar budaya Sabah terus diraikan walaupun jauh dari tanah asal.

Pada peringkat awal, wanita berusia 45 tahun itu mengakui berasa ragu-ragu sama ada mampu menjadikan jahitan pakaian tradisional Sabah sebagai sumber pendapatan utama di ibu negara.

BROIDIE mengusahakan jahitan busana tradisional Kadazandusun
di kedainya di DGS Tagaroh, Kuala Lumpur.

Namun selepas difikirkan dengan teliti, Broidie yang mempunyai pengalaman sebagai tukang jahit pakaian lelaki dan wanita secara umum nekad memberi fokus sepenuhnya kepada pakaian tradisional Kadazandusun.

“Selepas suami mendapat pekerjaan di Putrajaya, kami berpindah ke Semenanjung pada hujung tahun 2005 dan saya membuka tempahan pakaian lelaki serta wanita secara umum.

“Namun ketika Pesta Kaamatan pada tahun 2010, saya berasa sayu melihat tidak ramai memakai pakaian tradisional kami, termasuk diri saya sendiri kerana sukar mendapatkan pakaian tersebut di Kuala Lumpur.

“Kadar sewaan pakaian tradisional yang dibawa dari Sabah kebanyakannya sekitar RM200 hingga RM250 dan pelanggan juga perlu membayar deposit tambahan.

“Ini belum termasuk aksesori kepala, rantai dan tali pinggang. Jadi, jika mahu memakai pakaian tradisional, seseorang perlu menyediakan bajet sekitar RM350 hingga RM500.

“Bajet seperti itu agak besar buat perantau seperti kami, terutama mereka yang datang sini sebagai pelajar,” katanya ketika ditemui CitaRasa di kedainya, DGS Tagaroh di Taman Wangsa Permai, Kuala Lumpur.

Jovita (kiri) dan suami menggunakan busana hasil tangan Broidie ketika majlis pemberkatan perkahwinannya di Kuala Lumpur.

Untuk pengetahuan, Pesta Kaamatan yang sambutan jatuh pada semalam dan hari ini merupakan perayaan menuai tradisional masyarakat Kadazandusun serta beberapa etnik peribumi lain di Sabah yang diraikan setiap tahun pada bulan Mei.

Perayaan itu bukan sahaja menjadi simbol kesyukuran selepas musim menuai padi, malah turut berkait rapat dengan penghormatan terhadap semangat padi yang dikenali sebagai Bambarayon dalam kepercayaan tradisional masyarakat Kadazandusun.

Bagi wanita Kadazandusun, pakaian tradisional lazimnya berwarna hitam dan dihiasi sulaman benang emas yang dikenali sebagai sinulob, manakala lelaki pula mengenakan busana tradisi bersama tanjak atau sigar.

Menariknya, setiap suku kaum Kadazandusun memiliki identiti pakaian tradisional tersendiri daripada aspek corak, sulaman dan aksesori yang digunakan.

Perbezaan itu dapat dilihat menerusi jenis butang, motif bunga serta pemakaian aksesori tertentu mengikut suku masing-masing.

Disebabkan itu, Broidie memilih untuk menghasilkan pakaian asas sahaja bagi tujuan sewaan agar sesuai dipakai oleh pelbagai suku Kadazandusun.

Bagi tempahan khas pula, Broidie menerangkan bahawa rekaan pakaian perlu mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA) demi menjaga keaslian dan sensitiviti budaya masyarakat tersebut.

“Bukan semua orang boleh sewenang-wenangnya menjahit pakaian tradisional kami kerana melibatkan banyak perincian yang melambangkan etnik.

“Saya sendiri mendapatkan kebenaran daripada KDCA terlebih dahulu sebelum menghasilkan rekaan pakaian wanita berlengan panjang yang sesuai dipakai Muslimah di Semenanjung.

“Ini kerana selain mahu membantu perantau dari Sabah yang menetap di sini, saya juga mahu memperkenalkan pakaian tradisional kami kepada masyarakat lain,” katanya.

Pada peringkat awal perniagaan, Broidie hanya bergantung kepada promosi dari mulut ke mulut serta carian pelanggan melalui Google untuk memperkenalkan perkhidmatan jahitannya.

Namun kini, perniagaannya semakin berkembang apabila turut menggunakan platform digital seperti Shopee dan TikTok Shop bagi memudahkan pelanggan mendapatkan pakaian tradisional yang ditawarkan.

Untuk tempahan, pakaian daripada kain baldu mengikut standard asal dijual sekitar RM350 sepasang, manakala pakaian menggunakan kain kapas pula sekitar RM250 sepasang.

Selain tempahan jahitan, perkhidmatan sewaan pakaian tradisional turut disediakan dalam pelbagai saiz bermula daripada S hingga 6XL bagi memenuhi keperluan pelanggan pelbagai bentuk badan.
Kadar sewaan pakaian tradisional daripada kain kapas pula sekitar RM70 sepasang.

Menurut Broidie, cabaran terbesar dalam menghasilkan pakaian tradisional Kadazandusun ialah kos bahan dan aksesori yang tinggi kerana kebanyakannya perlu dibawa khas dari Sabah.

“Satu gulung renda sepanjang kira-kira 18 meter hanya cukup untuk menghasilkan sekitar satu setengah pasang pakaian sahaja, sekali gus menyebabkan kos penghasilan menjadi lebih tinggi.

“Bahan seperti butang tradisional serta aksesori pakaian dibeli terus dari Sabah bagi mendapatkan harga yang lebih murah berbanding di Semenanjung.

“Malah, setiap kali pulang ke Sabah pada hujung tahun, saya akan membawa pulang bahan jahitan dalam kuantiti yang banyak sehingga mencecah 100 kilogram bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi,” katanya.

Pelanggannya juga terdiri daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina dan India yang menggunakan pakaian tersebut untuk pelbagai acara.

Malah, terdapat pelanggan dari Pahang, Johor, Terengganu dan Melaka yang sanggup datang sendiri ke kediamannya semata-mata untuk mendapatkan pakaian berkenaan.

Namun, majoriti pelanggannya terdiri daripada perantau Sabah yang menetap di Semenanjung dan tidak mempunyai akses mudah kepada pakaian tradisional mereka.

Salah seorang pelanggan, Jovita Moduli, bukan sahaja menggunakan perkhidmatan sewaan pakaian tradisional Broidie ketika sambutan Kaamatan, malah pada hari perkahwinannya.

“Saya sangat menyokong bisnes Broidie ini kerana kami yang merantau ke Kuala Lumpur memang sukar mendapatkan pakaian tradisional Kadazandusun.

“Kalau mahu menyewa dari Sabah pula, kosnya terlalu mahal. Saya sudah empat kali menyewa dengan Broidie sejak 2022.

“Pernah sekali saya menyewa pakaian tradisional Kadazandusun bersempena majlis pemberkatan perkahwinan kami di Gereja St Anthony, Pudu, Kuala Lumpur,” katanya.

Selain golongan bekerja, perkhidmatan Broidie turut mendapat sambutan daripada pelajar universiti Sabah yang melanjutkan pengajian di Semenanjung kerana harganya yang berpatutan.

Christy Moorie Claire, 24, mencari tempat yang menyediakan perkhidmatan sewaan pakaian tradisional Kadazandusun sebelum menemui video DGS Tagaroh di TikTok dan menghubungi Broidie untuk membuat tempahan.

“Sewaktu berada di tahun pertama pengajian, Universiti Malaya menganjurkan acara Sabah Fiesta yang bertujuan memperkenalkan budaya Sabah kepada warga kampus.

“Saya mencari di pelbagai tempat, namun Broidie menawarkan harga yang sangat mesra pelajar kerana dia menjahitnya sendiri.

“Saya rasa gembira dan bersyukur kerana dapat memakai pakaian tradisional Kadazandusun di Kuala Lumpur, malah menjadi pelanggan tetap Broidie sejak tahun pertama pengajian sehingga kini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN