PETALING JAYA – Kehadiran penjaja haram yang semakin berani mengganggu pengunjung di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) mengundang rasa kurang senang dalam kalangan orang awam.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di aplikasi Threads oleh Osman.Tenacity meluahkan rasa bengang apabila mendapati golongan tersebut masih bebas menjalankan aktiviti berkenaan meskipun pihak PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah meletakkan papan tanda larangan yang jelas.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika dia sedang menjamu selera di kawasan R&R Seremban sebelum didatangi seorang individu yang melakukan jualan secara paksaan dari meja ke meja.
“Yang buat saya bengang masa tengah makan, saya nampak dia pergi dari meja ke meja paksa orang dengar dan beli barang dia. Orang tengah makan pun diganggu.
“Saya terus bangun dan tegur cara baik, bertanya sama ada dia tahu atau tidak tentang larangan menjaja tanpa kebenaran di situ sambil menunjukkan gambar amaran daripada PLUS,” katanya.
Bagaimanapun, tindakan menegur itu bertukar tegang apabila individu terbabit bertindak agresif dan cuba melakukan provokasi selepas diancam akan dilaporkan kepada pihak berkuasa.
“Bila saya cakap mahu buat laporan, terus dia mengamuk dan mencabar saya. Sebelum beredar, dia sempat buat gaya samseng macam nak pukul orang.
“Muka dia gelap macam orang Rohingya, saya tak rasa dia Melayu atau India. Cara dia memang agresif dan biadab,” ujarnya.
Jelasnya lagi, laporan dan aduan telah pun dilakukan kepada pihak PLUS supaya golongan ini tidak mudah berleluasa dan mengganggu orang awam. – KOSMO! ONLINE














