PONTIAN – Seorang wanita warga emas yang hilang di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Medan Sari di sini sehari sebelum Hari Raya Aidiladha ditemui dalam keadaan selamat hari ini.
Mangsa, Nathiah Selamat, 77, dijumpai penduduk kira-kira pukul 10.50 pagi tadi kira-kira 2.4 kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) sebelum dihantar ke Hospital Pontian untuk pemeriksaan.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Johor berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kehilangan wanita itu pada pukul 6 petang kelmarin sebelum sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru digerakkan ke lokasi.
Komander Operasi, PBK II KUP Mohd. Khairul Anwar Ab. Ghani berkata, selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan, mangsa kemudian dijumpai oleh penduduk dalam keadaan selamat kira-kira pukul 10.50 pagi tadi.
“Operasi SAR melibatkan lapan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS),”ujarnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan kegembiraan sebuah keluarga membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha bertukar cemas apabila warga emas berkenaan gagal pulang ke rumah selepas keluar ke kawasan kebun sawit bersama seorang waris pada Selasa lalu.-KOSMO! ONLINE














