PETALING JAYA – Orang ramai digesa supaya tidak menggunakan gambar dijana atau diubah suai menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi tujuan permohonan Pasport Malaysia.
Menurut Jabatan Imigresen (JIM), penggunaan foto AI atau pengemukaan maklumat palsu dalam permohonan pasport merupakan satu kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pasport 1966 (Akta 150).
Katanya, pemohon perlu memastikan gambar yang dihantar adalah foto asli, jelas serta mematuhi spesifikasi yang telah ditetapkan pihak imigresen.
“Sebarang foto atau maklumat palsu yang dikemukakan boleh menyebabkan permohonan ditolak dan pemohon boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Kata JIM, orang ramai diiangatkan supaya memastikan foto pasport mempunyai pencahayaan sekata, wajah yang jelas tanpa bayang selain tidak diubah suai menggunakan sebarang aplikasi atau teknologi AI.
Tambahnya, penggunaan foto sebenar amat penting bagi memastikan proses pengesahan identiti berjalan lancar dan mengelakkan sebarang unsur penipuan. – KOSMO! ONLINE














