JAKARTA – Suasana di sebuah kedai kopi di di Jalan Bardannadi, Kabupaten Mempawah, Kalimantan Barat bertukar kecoh apabila seekor lembu korban tiba-tiba mengamuk dan merempuh premis berkenaan dalam kejadian baru-baru ini, lapor portal berita Tribun Pontianak.
Insiden cemas itu menyebabkan pemilik kedai dan para pelanggan bertempiaran lari bagi menyelamatkan diri masing-masing.
Menurut pemilik kedai kopi tersebut, Nurul, haiwan berkenaan terlebih dahulu dibawa menggunakan sebuah lori pikap oleh dua lelaki yang dalam perjalanan menuju ke Pontianak.
“Mereka berhenti seketika untuk berehat dan minum kopi di kedai kami.
“Pada mulanya keadaan nampak tenang, namun tiba-tiba lembu di atas lori itu meronta-ronta sebelum berjaya melepaskan diri,” katanya.
Tambah Nurul, haiwan tersebut kemudiannya meluru masuk ke dalam kedainya sehingga mencetuskan keadaan huru-hara dalam sekelip mata. – AGENSI














