PETALING JAYA – Harga runcit petrol dan diesel diturunkan bermula esok hingga 3 Jun depan susulan penyusutan purata harga pasaran antarabangsa minggu lalu.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan berkata, harga RON97 diturunkan sebanyak 20 sen kepada RM4.65 seliter berbanding RM4.85 sebelum ini, manakala RON95 turun 15 sen kepada RM3.92 seliter.
Dalam masa sama, harga diesel di Semenanjung Malaysia turut mencatatkan penurunan sebanyak 10 sen kepada RM4.87 seliter.
MoF berkata, walaupun berlaku penurunan harga minggu ini, tekanan pasaran global masih belum reda memandangkan konflik di Asia Barat yang berlarutan lebih 12 minggu terus memberi kesan kepada bekalan dan harga minyak dunia.
“Harga minyak mentah Brent mutakhir ini kekal melepasi AS$100 setong, iaitu lebih 50 peratus lebih tinggi berbanding paras prakonflik sekitar AS$60 hingga AS$70 setong.
“Keadaan ini turut disertai peningkatan kos penghantaran dan premium insurans akibat risiko laluan perdagangan di zon konflik,” katanya.
Tambah kenyataan itu, risiko gangguan bekalan minyak global terus menjadi perhatian sejak 28 Februari lalu, memandangkan Selat Hormuz merupakan laluan bagi kira-kira 20 peratus bekalan petroleum dunia.
“Dalam masa sama, kerosakan kemudahan pengeluaran dan penapisan minyak di Asia Barat memerlukan tempoh yang panjang untuk dipulihkan,” katanya.
Kerajaan Madani turut menyeru rakyat agar mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat melalui perancangan perjalanan yang lebih cekap serta mengurangkan perjalanan tidak perlu.
Pada masa sama, kerajaan mengekalkan harga produk petroleum bersubsidi secara bersasar termasuk RON95 (Budi95) pada RM1.99 seliter bagi lebih 14 juta penerima yang layak.
MoF berkata, lebih 90 peratus daripada jumlah liter RON95 yang digunakan di negara ini adalah oleh pengguna yang menerima subsidi.
“Pada harga RON95 tanpa subsidi semasa RM3.92 seliter, penggunaan 200 liter akan menelan kos RM784. Ini bermakna Kerajaan Madani menanggung RM386 bagi setiap penerima yang menggunakan kelayakan penuh Budi95.
“Dengan siling kelayakan bulanan sehingga 200 liter, penerima Budi95 hanya membayar sehingga RM398 sebulan bagi penggunaan penuh kelayakan tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE














