TRIP tiga hari dua malam ini melibatkan saya bersama-sama 10 orang pemancing daripada Geng Pancing Bandar Saujana Putra yang diketuai oleh Syahrul Nazmi. Ahli trip telah mula menabung sejak tahun lepas lagi untuk kos trip.
Ini berikutan kami menyewa bot jenis catamaran, bukannya bot kayu seperti kelazimannya. Jadi, sudah tentu harganya sedikit ‘keras’, namun ahli kumpulan sanggup menanggung kos demi keselesaan.
Bot yang dinamakan Tuna Biru Lang ini sepanjang 50 kaki, lebar 13 kaki dan digerakkan dengan dua enjin Nissan. Ia dikemudi oleh seorang tekong muda, Mohamad Fikri yang baru berumur 23 tahun, namun sudah banyak pengalaman.
Pulau Dayang
Bot meninggalkan jeti Mersing, Johor pada pukul 2 petang dan kami tidak terus ke pulau. Sebaliknya, kami singgah ke unjam terlebih dahulu untuk mencari umpan dan sedikit ikan sebagai lauk malam.
Puas dengan sesi memanas badan, kami mendarat di Pulau Dayang pada pukul 9 malam. Setelah makan malam, kami berehat untuk bersiap sedia untuk keesokan harinya.
Pakej ‘kayangan’ ini lebih memudahkan kerana tidak perlu memasak, tidak perlu tidur di dalam bot yang bergoyang kerana segalanya tersedia dan berbaloi.
Kami akan bermula awal pagi, perjalanan ke lokasi pertama biasanya memakan masa satu hingga dua jam untuk sampai ke kawasan dalam yang berupa lubang-lubang berbatu karang.
Bot tidak bersauh, sebaliknya berhanyut melalui lubang-lubang berupa kawah sambil kami menurunkan umpan.
Teknik bottom drift ini tidak membenarkan penggunaan perambut yang terlalu panjang kerana bakal membuatkan ia mudah berpintal atau tersangkut antara satu sama lain.
Jadi, semua orang memasang perambut gaya paternoster atau perambut ‘T’ iaitu satu perambut ibu dengan satu hingga tiga perambut anak yang pendek.
Jika dahulu perambut seperti ini memerlukan kemahiran untuk mengikatnya, tetapi kini tidak lagi kerana terdapat pelbagai jenis dan saiz perambut ‘T’ dijual di pasaran.

Cara menggunakannya juga sangat mudah, hanya perlu mengikat tali utama di bahagian atas, cabang di tengah adalah perambut anak dan bahagian bawah sekali dipasang batu ladung.
Saya menggunakan perambut fluorocarbon 60lb dengan perambut anak sepanjang tiga kaki diikat dua mata kail. Manakala sambungan ke batu ladung pula sepanjang dua kaki setengah, sedikit pendek daripada perambut anak.
Jika arus deras, maka perambut lebih pendek ke batu ladung supaya batu ladung tidak membelit pada perambut anak yang berisikan umpan.
Umpan
Ikan selayang dipotong dengan dibuang tulang tengah, tinggal kepala dan isinya sahaja serta sotong dicangkuk seekor adalah antara persembahan umpan yang tekong sarankan.
Saya perhatikan umpan sotong kurang mendapat sambutan dan ikan ibu kerisi gemar memilih umpan ikan selayang.
Mungkin kerana pada kedalaman lebih dari 50 meter, kilauan badan umpan ikan selayang dan baunya menjadi tarikan utama.
Rata-rata kami menggunakan set pancing elektrik atau digelar ‘mesin Bangla’. Kedalaman dasar antara 50 hingga 70 meter lebih cepat ditangani menggunakan set pancing elektrik kerana ia mampu menurun serta menaikkan umpan dengan lebih cepat jika dibandingkan dengan set pancing manual.
Perlawanan dengan ikan juga lebih terkawal dan pemancing tidak perlu bersusah payah mengarau tali kerana hanya dengan menekan butang, kekili akan melakukan semua tugas menaikkan ikan dengan sendirinya.
Stail pancingan
Rutinnya sangat mudah, semua bersedia dengan umpan masing-masing dan apabila tekong membunyikan hon, umpan akan terus diturunkan ke dasar, tegangkan tali dan tunggu ikan merembat umpan.
Setiap kali bot sudah melepasi kawasan berpotensi, hon akan dibunyikan sekali lagi dan semua akan menaikkan umpan untuk memasang yang baharu jika kehabisan.
Kemudian, bot akan mengulang berhanyut di lokasi yang sama jika ada pemancing kena ikan atau berpindah ke lokasi lain jika lubuk kosong tiada ‘isi’.
Biasanya, umpan siapa yang paling awal mencecah dasar, dialah yang akan kena ikan pertama, jadi semua akan berebut-rebut menurunkan umpan.
Jika lubuk tersebut berpenghuni, hampir semua pemancing beroleh hasil, seolah-olah melewati ‘kandang’ ikan. Ternyata teknik bottom drift yang kami usahakan kali ini lebih efektif jika hendak dibandingkan dengan umpan tiruan seperti jig.
Setiap hari, kami berjaya mendaratkan banyak spesies ikan seperti kerapu mata hijau, landuk, merah suman, kerapu bara dan paling ramah menjamu umpan adalah ikan ibu kerisi.
Ikan ibu kerisi juga sudah lama saya tidak pancing dan difahamkan spesies ikan ini bermusim.
Menurut tekong, ia mampu mencecah harga antara RM25 hingga RM35 sekilogram.
Ia menjadi rebutan golongan suri rumah kerana memiliki tekstur isi putih dan lembut.















