ACARA tahunan yang dianjurkan oleh Silverstate Kayak Fishing Club (SKFC) ini bukan sekadar pertandingan memancing biasa. Malah, ia menjadi simbol perpaduan apabila disertai oleh peserta daripada pelbagai latar belakang kaum dan usia.
Kemeriahan festival ini sudah mula dirasai sejak petang Jumaat apabila rata-rata peserta memilih untuk berkhemah di sepanjang pesisir pantai. Suasana santai, unggun api dan deruan ombak menjadi saksi perkongsian ilmu dan teknik memancing antara pemancing.
Cabaran Bermula
Tepat pukul 8 pagi keesokannya, ‘armada’ kayak dilancarkan. Deretan kayak berwarna-warni yang memenuhi pantai mencipta pemandangan menarik hingga menjadi tumpuan pengunjung.
Peserta perlu menempuh cabaran fizikal dengan mendayung sejauh beberapa kilometer untuk mencari lubuk terbaik bagi memburu spesies ikan seperti jenahak, talang, gerepoh dan lain-lain.

Pertandingan yang berlangsung sehingga lewat petang itu menguji kesabaran dan kemahiran teknikal peserta dalam mengendalikan peralatan memancing di atas ruang kayak terhad.
Pertandingan berakhir pada sebelah petang, sebelum para peserta kembali ke meja urus setia bagi sesi penimbangan hasil tangkapan.
Malam anugerah
Pelbagai hadiah menarik ditawarkan kepada pemenang, dan semua hadiah pertandingan ditaja sepenuhnya oleh pihak yang sentiasa menyokong perkembangan sukan kayak di negara ini.
Kemuncak acara berlangsung pada sebelah malam dengan majlis penyampaian hadiah dan jamuan makan.
Terima kasih kepada semua penaja yang mengambil bahagian seperti Senses Fishing Malaysia, Piratez Strike, Garmin Malaysia, Feelfree Kayaks, MAG, AECO Technologies, Million Fishing Tackle dan Manjung Outdoors & Recreation Station.
Tidak lupa juga kerjasama daripada Majlis Perbandaran Manjung, Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung serta Balai Bomba dan Penyelamat Manjung atas sokongan kepada penganjuran KFF26.
Acara KKF26 membuktikan bahawa sukan memancing berkayak kini bukan lagi hobi terpencil, tetapi satu gaya hidup sihat yang mampu menyatukan ramai pemancing di bawah satu minat sama.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan KFF26 yang melabuhkan tirainya pada 9 Mei lalu.















