PETALING JAYA – Jenazah Allahyarhamah Nur Izzati Humaira Azizul, 19, yang ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai sesat ketika menuruni Bukit Changkat Asa, Tanjung Malim telah tiba di Hospital Sungai Buloh di sini petang tadi bagi urusan lanjut.
Mangsa ditemukan Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat Malaysia kira-kira pukul 11.58 pagi tadi di kawasan kebun kira-kira 500 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Difahamkan, jenazah mangsa akan dibawa pulang ke kampung halaman di Felda Trolak Utara, Sungkai, Perak untuk urusan pengebumian selepas selesai proses berkaitan.
Terdahulu, Allahyarhamah dilaporkan hilang ketika dipercayai menuruni Bukit Changkat Asa bersendirian sebelum operasi mencari dan menyelamat digerakkan pihak berkuasa sejak Sabtu lalu. – KOSMO! ONLIN














