fbpx
Kumar pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang hari ini. Foto oleh AMIR KHALID/KOSMO!

Pakar Perlembagaan dirujuk teliti hantaran Tony Pua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAJANG – Polis akan mendapatkan pandangan pakar akademik berkaitan Perlembagaan Persekutuan bagi membantu siasatan terhadap satu hantaran media sosial oleh bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua yang didakwa menyentuh isu berkaitan Rukun Negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, setakat ini sebanyak 120 laporan polis diterima berhubung kes berkenaan selain 95 individu sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Polis juga sudah merakam percakapan Tony Pua selepas menerima laporan berkaitan kes tersebut. Daripada semua percakapan yang diperoleh, kita akan rujuk kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Sebelum itu, kita juga akan mendapatkan keterangan pakar akademik dari sudut Perlembagaan Persekutuan bagi memperoleh pandangan akademik berkaitan perkara tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Kumar berkata, polis masih menunggu arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara berhubung insiden tembakan yang mengorbankan tiga individu di Durian Tunggal, Melaka pada November tahun lalu.

Katanya, kertas siasatan kes berkenaan sudah dirujuk kira-kira empat kali kepada AGC dan beberapa arahan tambahan telah diberikan bagi melengkapkan siatan.

“Semua arahan daripada AGC sudah diambil tindakan dan selepas ini kita akan memaklumkan hala tuju siasatan tersebut. Setakat ini, seramai 63 saksi sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes Durian Tunggal,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN