SEREMBAN – Menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha, seorang pengusaha khidmat mengasah pisau dan parang dari Mahkota Hill, Lenggeng di sini sibuk menerima tempahan daripada individu, surau, masjid dan pasukan penyembelih korban.
Fauzul Amin Zakaria, 36, berkata, setiap kali musim korban, permintaan terhadap khidmat mengasah pisau meningkat mendadak sehingga dia terpaksa mengehadkan jumlah tempahan bagi memastikan kualiti kerja sentiasa terjaga.
“Kalau hari biasa saya terima sekitar 10 bilah seminggu, tetapi musim korban boleh cecah sehingga 25 bilah sehari. Memang tidak menang tangan,” katanya di sini baru-baru ini.
Menurutnya, dia mula menceburi bidang tersebut secara sambilan sejak pertengahan tahun 2023 kerana minat mendalam terhadap seni senjata tradisional Melayu seperti keris, parang dan badik.
Anak kelahiran Meru, Klang itu berkata, kemahiran mengasah pisau dipelajari sendiri dan bukan diwarisi daripada keluarga.
Dia yang menetap hampir 15 tahun di Mahkota Hill berkata, musim Aidiladha merupakan waktu paling sibuk kerana ramai mahu memastikan pisau sembelihan berada dalam keadaan terbaik.
Kata bapa kepada tiga cahaya mata itu lagi, proses mengasah bukan sekadar menajamkan mata pisau, tetapi memerlukan penelitian tinggi bagi memastikan keseimbangan mata pisau berada pada sudut yang tepat.
“Biasanya saya gunakan beberapa teknik seperti mesin pengasah, batu asah pelbagai gred serta rod pembetul mata pisau,” katanya.
Ujarnya, pisau sembelih dan pisau melapah mempunyai fungsi serta reka bentuk berbeza berbanding pisau biasa.
“Untuk korban, pisau jenis skinning sesuai digunakan bagi melapah kulit, manakala boning pula untuk melapah daging pada tulang. Pisau sembelih pula khas untuk proses penyembelihan,” jelasnya.















