fbpx
Lim (belakang dua dari kanan) hadir ke pejabat aduan Wisma MCA di Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh ISKANDAR ISHAK / KOSMO!

Rumah disimbah cat merah angkara hutang pemilik lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Gara-gara tindakan tidak bertanggungjawab bekas pemilik rumah, seorang lelaki hidup dalam ketakutan selepas rumah serta kenderaannya disimbah cat merah oleh along.

Mangsa yang dikenali sebagai Lim, 45, berkata, dia telah membeli rumah teres itu pada 2019 daripada seorang lelaki dikenali sebagai Ku tanpa menyedari masalah hutang yang menyelubungi keluarga penjual tersebut.

Menurutnya, insiden pertama bermula pada 16 Jun tahun lalu apabila dia mendapat surat tuntutan hutang yang menuntut bayaran pinjaman dengan ugutan akan menyimbah cat merah jika enggan membayar.

“Saya terus membuat laporan polis pada hari yang sama kerana bimbang akan keselamatan keluarga. Selepas setahun keadaan tenang tanpa sebarang gangguan, saya ingatkan perkara ini sudah selesai,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, sekitar pukul 12.30 tengah malam pada 17 Mei lalu, pagar rumahnya serta dua buah kereta miliknya disimbah cat merah oleh lelaki dipercayai warga asing.

“Bila saya dapatkan kepastian dari pemilik lama dia kata telah langsaikan hutang. Tetapi jiran-jiran terdekat maklumkan rumah itu memang kerap jadi sasaran orang simbah cat sebab gagal bayar hutang,” ujarnya.

Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, sindiket along ini sering menjejak mangsa berdasarkan alamat lama yang tertera pada MyKad peminjam, walaupun rumah berkenaan telah bertukar milik.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan bakal pembeli rumah supaya berhati-hati dan memeriksa keadaan sesebuah premis bagi mengelakkan diri daripada menjadi ‘mangsa keadaan’.

“Sebelum tandatangan apa-apa perjanjian beli rumah, selidik dulu. Tanya jiran-jiran terdekat kalau-kalau ada ‘kisah silam’ atau gangguan yang pernah berlaku.

“Macam kes Lim ini, dia hanya tahu rumah itu pernah menjadi sasaran ancaman along selepas dimaklumkan oleh jiran-jiran selepas berpindah,” katanya.

Katanya, ancaman daripada sindiket ini amat membimbangkan dengan 133 kes dilaporkan, membabitkan kerugian drastik mencecah RM14.5 juta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN