KUALA LUMPUR – Sebanyak lima kenderaan terjejas selepas terlibat dalam beberapa insiden pokok tumbang yang berlaku di sekitar ibu negara susulan cuaca buruk petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima beberapa panggilan kecemasan menerusi talian NG999 kira-kira pukul 2.50 petang sebelum anggota bomba digerakkan ke tiga lokasi berasingan bagi menjalankan operasi bantuan.
“Di Pangsapuri Seri Malaysia, Jalan 3/141 Kampung Malaysia Tambahan, sebatang pokok dilaporkan tumbang dan menghempap sebuah kereta jenis Proton Persona yang diletakkan di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, katanya, kejadian di Lot PT 13856, Institut Sosial Malaysia, Sungai Besi menyaksikan sebuah pokok besar tumbang lalu menghempap bumbung parkir kenderaan.
“Insiden itu menyebabkan empat kenderaan mengalami kerosakan iaitu sebuah Perodua Ativa, Perodua Axia, Perodua Myvi dan Proton Waja,” ujarnya.
Tambahnya, insiden pokok tumbang turut berlaku di Lebuh Raya Maju Expressway (MEX) menghala ke Lebuh Raya Baru Pantai (NPE) (E37) sehingga menghalang laluan jalan.
Jelasnya, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah dimaklumkan bagi membantu kerja-kerja pembersihan dahan pokok yang dipotong anggota bomba.
“Tiada sebarang mangsa yang terlibat dalam semua kejadian pokok tumbang yang berlaku hari ini.
“Kesemua laluan yang terjejas dilaporkan telah dibuka semula sepenuhnya kepada pengguna jalan raya,” katanya. – KOSMO! ONLINE






