KUALA TERENGGANU – Gara-gara menggunakan pukat jerut bilis secara haram, sebuah bot nelayan tempatan kelas A ditahan Maritim Malaysia (APMM) kelmarin.
Selain itu, tiga bot nelayan tempatan kelas C pula ditahan kerana disyaki menggaji 12 warga Myanmar tanpa permit sah.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, kesemua empat bot nelayan itu ditahan dalam kedudukan antara 11.11 kilometer (km) hingga 50 km dari tenggara muara Sungai Terengganu pada pukul 10.45 pagi.
“Pemeriksaan mendapati sebuah bot nelayan kelas A yang mempunyai lapan kru warga tempatan gagal mengemukakan lesen untuk menggunakan pukat jerut bilis.
“Tiga bot nelayan kelas C pula mempunyai 12 kru warga Myanmar yang kesemuanya gagal mengemukakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS),” katannya di sini hari ini.
Hamiludin berkata, kesemua empat bot nelayan terbabit termasuk hasil laut dan peralatan menangkap ikan telah dirampas.
Beliau berkata, kesemua 12 nelayan warga Myanmar berusia antara 29 hingga 51 tahun juga telah ditahan untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – KOSMO! ONLINE














