MEKAH- Pergerakan jutaan jemaah haji ke Arafah bagi melaksanakan rukun terpenting ibadah haji, wukuf bermula secara berperingkat hari ini dalam suasana penuh tertib dan lancar.
Jemaah dari seluruh dunia mula meninggalkan penginapan masing-masing di Mekah seawal pagi dengan menaiki bas yang disediakan pihak berkuasa Arab Saudi menuju ke Arafah yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Masjidil Haram.
Bagi jemaah haji Malaysia, pergerakan dikendalikan secara sistematik oleh Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi jadual perjalanan yang disusun bagi memastikan kelancaran perjalanan dan keselamatan semua jemaah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, jemaah haji Malaysia mula bergerak secara berperingkat ke Arafah hari ini bagi melaksanakan rukun terpenting ibadah haji iaitu wukuf dengan proses pergerakan dijangka selesai sebelum waktu Asar.
“Alhamdulillah, hari ini hari yang penuh bersejarah apabila bermulanya pergerakan jemaah haji ke Masyair. Kita harapkan semuanya berjalan lancar dan semua jemaah selamat sampai di Arafah hari ini,” katanya kepada media di sini hari ini.
Beliau berkata, kerajaan dan TH sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan serta kesihatan jemaah terutama berdepan cuaca panas di Tanah Suci.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan jemaah supaya mengurangkan aktiviti luar pada waktu tengah hari dan sentiasa mematuhi arahan petugas haji serta ketua maktab masing-masing.
“Kita nasihatkan supaya terus fokus kepada ibadah. Jangan keluar ketika cuaca panas kerana kita tidak mahu ada jemaah yang terjejas kesihatan.
“Ikut segala nasihat dan bimbingan petugas serta kekal berada di khemah dan maktab yang ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, beliau dijadual menyampaikan khutbah Arafah esok dengan mesej menekankan ibadah haji sebagai pencetus perubahan diri dan pengukuhan perpaduan umat Islam.
Katanya, disiplin tinggi yang ditunjukkan jemaah haji Malaysia sepanjang operasi musim haji tahun ini memberi keyakinan kepada pihak pengurusan untuk melaksanakan pergerakan ke Masyair dengan lancar.
“Kita percaya jemaah haji Malaysia adalah jemaah yang berdisiplin dan sudah bersedia menjadi tetamu Allah,” katanya.- KOSMO! ONLINE














