PONTIAN – Seorang penyelia projek sebuah syarikat swasta kerugian RM200,400 selepas dipercayai terpedaya dengan skim pelaburan saham tidak wujud yang menawarkan keuntungan lumayan.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussein Mion Hussain berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian menerima laporan berkaitan kes itu semalam.
Menurut beliau, mangsa lelaki berusia 45 tahun itu tertarik dengan tawaran pelaburan saham daripada sebuah syarikat dikenali sebagai Thornburg selepas dijanjikan keuntungan sehingga 80 peratus daripada jumlah pelaburan.
“Mangsa kemudian melakukan beberapa transaksi pembayaran bermula 9 Mac hingga 19 Mei lalu dengan jumlah keseluruhan RM200,400.
“Bagaimanapun, mangsa mula menyedari dirinya ditipu apabila suspek meminta bayaran tambahan bagi tujuan mengeluarkan keuntungan yang kononnya diperoleh hasil pelaburan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.- KOSMO! ONLINE













