PETALING JAYA – Umur baru 14 tahun tetapi berjaya melepasi beberapa proses pemilihan ketat dan mencabar bagi diterima masuk ke Korean Science Academy of KAIST (KSA) di Busan dengan tajaan penuh kerajaan Korea Selatan bagi sesi pengajian 2027.
Zara Aaliyah Muhamad Nabil Fikri berjaya membuktikan rakyat Malaysia juga mampu melakukan yang terbaik demi mengikuti pengajian di sekolah berprestif itu.
Ibunya, Siti Haizan Azmi, 40, bersyukur dan tidak menduga perkara seperti itu hadir dalam hidupnya dan menganggapnya sebagai rezeki besar buat anak sulung daripada dua beradik itu.
“Selepas melalui beberapa proses pemilihan, dia sangat berharap berjaya mendapat tempat di KSA. Setiap hari dia minta saya doakan supaya mendapat tawaran itu. Apabila menerima berita baik itu, saya rasa sangat terharu dan bersyukur,” katanya kepada Kosmo!
Dia yang berasal dari Alor Setar, Kedah berkata, mengetahui mengenai peluang pengajian itu secara tidak sengaja ketika mencari maklumat berkaitan program pertukaran pelajar luar negara secara percuma menerusi Google penghujung tahun lalu.
“Pada mulanya mencari program pertukaran pelajar, tetapi kebanyakannya perlu kos tinggi. Jadi saya cuba cari program pertukaran pelajar percuma dan secara tidak sengaja menemui maklumat mengenai KSA.
“Pada awalnya saya sangka ia program pertukaran pelajar selama beberapa bulan,” ujarnya.
Katanya, dia kemudian menetapkan peringatan tarikh permohonan dibuka pada Februari lalu sebelum meminta anaknya mengisi permohonan tersebut.
“Saya masih ingat sebelum ujian Matematik, saya mesej dia dan cakap, ‘mommy’ tak mampu hantar Zara dengan duit sendiri tapi mommy doa Allah bagi Zara peluang ini. Do your best (buat yang terbaik),” katanya.
Tambahnya, Zara Aaliyah yang merupakan pelajar Kolej Permata Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sememangnya memiliki kebolehan luar biasa sejak kecil.
“Dia juga setahun lebih muda daripada rakan-rakan lain kerana skip tahun enam. Walaupun lebih muda, dia mampu memperoleh keputusan setanding rakan lain,” katanya.
KSA ialah sekolah menengah sains khas untuk pelajar pintar dan berbakat di Busan, Korea Selatan serta antara institusi paling elit dan berprestij di negara itu.
Ia berada di bawah KAIST, universiti sains dan teknologi nombor satu Korea Selatan.
Kemasukan ke KSA sangat kompetitif dengan kadar penerimaan sekitar 10 peratus, khusus bagi pelajar ada bakat luar biasa dalam sains dan matematik.














