PETALING JAYA – Perkongsian menyentuh hati seorang guru mengenai anak muridnya yang memberikan RM1 mengundang sebak dalam kalangan pengguna media sosial sempena sambutan Hari Guru baru-baru ini.
Menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Threads oleh _Imsyafiq yang merupakan seorang guru Sains telah menerima sepucuk surat semasa pemberian hadiah hari guru.
“Nanti cikgu baca tau surat ini, ada duit dalam ini. Sorry cikgu kalau tak seberapa,” kata murid itu sambil memeluknya.
Menurutnya, murid itu disifatkan sebagai seorang yang agak nakal dan sentiasa dimarahi olehnya semasa proses pembelajaran.
“Aku rasa sebak sebab aku nampak usaha dia untuk hargai aku sebagai cikgu dia dan aku nampak usaha dia nak cemerlang dalam Sains walaupun dia nakal dan budak kelas belakang.
“Untuk pengetahuan, markah Peperiksaan Pertengahan Tahun (PPT) baru-baru ini agak meningkat juga walaupun sedikit,” jelasnya.
Tambahnya lagi, guru itu sempat bertanya kepada murid itu mengapa memberikan wang RM1 tersebut sedangkan dia tidak mengharapkan sebarang ganjaran wang ringgit.
“Saya tak cukup duit nak beli barang-barang macam budak lain, itu je saya mampu. Itu pun saya bagi sir sorang je,” ujar murid itu lagi kepada gurunya.
Sementara itu, guru tersebut turut menyifatkan hadiah tersebut antara perkara yang paling bermakna buat dirinya sebagai seorang pendidik.
“Paling gembira bila satu kelas belakang semua markah meningkat, malah ada yang dapat A untuk subjek saya walaupun soalan susah.
“Itu pun hadiah bermakna dah bagi saya,” katanya. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














