PETALING JAYA – Tindakan murni seorang pemandu lori memulangkan semula dompet seorang warga emas yang tercicir mengundang pelbagai reaksi positif daripada pengguna media sosial.
Kisah kejujuran lelaki yang dikenali sebagai ‘saudara Naga’ itu tular selepas dikongsikan oleh seorang pengguna di aplikasi Threads, Aidasarida.
Menurutnya, bapa dan ibu mentuanya dalam perjalanan pulang ke Terengganu dari Puncak Jalil sebelum menyedari dompet bapa mentuanya hilang selepas mengisi minyak di sebuah stesen minyak.
“Patah balik cari kawasan sekitar tak jumpa. Tapi sebab dah ada janji temu dengan juruteknik kat kampung, kena gerak juga. Terus hubungi bank untuk sekat semua kad,” katanya.
Bagaimanapun, keresahan keluarga itu bertukar kegembiraan apabila dompet tersebut ditemui dan dipulangkan sendiri oleh seorang lelaki tempatan.
“Saudara Naga ini bawa lori, dia isi minyak kat situ dan nampak ada dompet. Dia selesaikan kerja di Klang dulu, kemudian balik ke Kajang ambil motosikal dan terus datang ke Puncak Jalil semata-mata nak hantar dompet abah.
“Alhamdulillah, duit dan kad bank dalam dompet langsung tak terusik,” jelasnya lagi.
Tambahnya lagi, hantaran itu dibuat bagi mencari lelaki berkenaan untuk mengucapkan terima kasih secara peribadi atas usaha luar biasa yang dilakukannya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna kagum dengan sifat amanah dan bertanggungjawab yang ditunjukkan oleh lelaki tersebut.
“Inilah orang Malaysia…dari Kajang pergi ke Puncak Jalil. Tapi Naga memang berhati mulia. Semoga Naga sentiasa sihat dan dimurahkan rezeki,” ujar Park_Coh79.
“Terbaik Mr. Naga, ini baru rakyat Malaysia. Semoga Mr. Naga terus berbuat baik sesama rakyat Malaysia. Jangan ambil barang yang bukan hak kita,” kata Copyrayyan.
“Basah baju dia nak cari rumah tuan punya dompet, terbaik abang Naga,” jelas Faiq_Ismeth. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














