MARAN – Penduduk khususnya penternak ikan di sekitar Sungai Pahang di Kampung Pesagi di sini berharap pasir yang timbul menggantikan aliran air Sungai Pahang di kawasan itu dapat disedut bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti seperti biasa.
Situasi sungai yang bertukar menjadi padang pasir menyebabkan penternak ikan sangkar mengalami kerugian dan tidak dapat meneruskan aktiviti penternakan yang menjadi sumber rezeki.
Seorang penternak ikan sangkar, Khairul Nizam Omar, 42, berkata, keadaan sungai yang kering sejak Januari sehingga kini menyebabkan dia membuat keputusan untuk memindahkan semua 60 sangkar ikan miliknya di kawasan berkenaan.
“Pada masa ini, saya mahu menjual semua ikan yang masih ada di dalam sangkar dan terpaksa pindah ke tempat lain yang lebih jauh kerana air surut begitu teruk sejak beberapa tahun ini.
“Saya dan penternak lain juga mengharapkan agar pihak kerajaan dapat menyedut pasir ini bagi mendalamkan sungai dengan segera,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Katanya, sejak tiga tahun lalu, keadaan Sungai Pahang di Kampung Pesagi kering begitu teruk sehingga mewujudkan kawasan seperti padang pasir sepanjang kira-kira tiga kilometer ketika ini
Jelasnya, untuk menyedut pasir yang banyak, ia memerlukan masa sehingga lebih tiga tahun dengan meletakkan sekurang-kurangnya tiga pam pasir di kawasan berkenaan.
“Kami sebagai penduduk dan penternak di sini suka sangat kalau ada pam pasir diletakkan di sini bagi mendalamkan sungai kerana semakin hari keadaan sungai yang cetek semakin kritikal,” katanya.
Dalam pada itu, seorang penduduk Muhamad Yusuf Mat Amin, 65, berkata, keadaan Sungai Pahang di Pesagi yang kering juga menyebabkan nelayan sungai sepertinya terpaksa meletakkan botnya di kawasan yang jauh.
Katanya, keadaan ini menyukarnya dan rakan-rakan untuk keluar mencari ikan setiap hari sebagai sumber pendapatan mereka.
Beliau berkata, selain pam pasir, kerajaan juga boleh menggali bagi mendalamkan kawasan sungai berkenaan yang kini menjadi padang pasir.
Bagaimanapun katanya, sebarang kaedah yang dilakukan di kawasan tersebut seharusnya mengikut peraturan ditetapkan bagi memastikan ekosistem sungai tidak terganggu dan hidupan sungai tidak pupus.
“Susulan kejadian banjir di Raub baru-baru ini, air naik sedikit tetapi masih cetek. Jika kemarau lagi, ia akan kembali kering seperti sebelum ini dan tiada kesudahannya,” katanya.














