KUALA LUMPUR – Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama seluruh negara mula bergerak perlahan petang ini apabila orang ramai dilihat mula pulang ke kampung sempena sambutan Hari Raya Aidiladha minggu depan.
Menurut Info Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), keadaan trafik perlahan dikesan di beberapa laluan utama terutama arah utara dan selatan membabitkan Lebuh Raya Utara-Selatan, Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT1) serta beberapa lebuh raya di Lembah Klang setakat pukul 6.56 petang tadi.
Antara laluan yang mengalami kesesakan di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara ialah Bukit Lanjan ke Rawang Selatan, Bandar Cassia ke Seberang Jaya dan Permatang Pauh ke Sungai Dua.
Bagi arah selatan pula, trafik perlahan dilaporkan dari Sungai Besi ke Bangi selain Putra Mahkota ke Bandar Ainsdale susulan sebuah treler terbakar di Kilometer 273.0 arah selatan yang menyebabkan lorong kecemasan dan sebahagian lorong kiri terhalang.
Di LPT1 pula, trafik arah timur dilaporkan perlahan dari Lanchang ke Temerloh berikutan kerja tebatan banjir di Kilometer 109.2 hingga Kilometer 116.0.
Selain itu, beberapa lebuh raya utama di Lembah Klang turut mengalami peningkatan jumlah kenderaan antaranya Lebuh Raya Baru Lembah Klang, Lebuh Raya Shah Alam, Lebuh Raya Damansara-Puchong, Lebuh Raya Kajang-Seremban dan Lebuh Raya KL-Putrajaya.
Turut sesak ialah laluan sekitar Plaza Tol Gombak menuju Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak serta beberapa laluan menghala ke pusat bandar raya Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE














