JOHOR BAHRU – Tujuh lelaki asing ditahan berhubung kes pembunuhan seorang juruteknik yang ditemukan dengan beberapa tikaman di dalam pangsapuri di bandar raya ini pada 13 Mei lalu.
Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, kesemua suspek yang berusia 17 hingga 45 tahun itu ditahan di sekitar Masai dan Mersing pada Isnin lalu.
“Tangkapan dibuat hasil risikan dan tindakan susulan polis selepas menjumpai kereta Perodua Myvi milik mangsa di Masai. Kesemua suspek direman sehingga 26 Mei ini bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini hari ini.
Chuan Huat berkata, pihaknya masih menyiasat punca sebenar kejadian, namun tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan dibuat dalam masa terdekat.
Sementara itu, dalam kes berasingan, polis menahan enam lelaki tempatan berhubung penemuan mayat lelaki dalam keadaan berlumuran darah di hadapan sebuah kedai makanan dan minuman di Pekan Nanas, Pontian awal pagi semalam.
Tangkapan dilakukan bermula tengah malam hingga awal pagi tadi di beberapa lokasi sekitar Johor Bahru.
“Motif pembunuhan masih dalam siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.-KOSMO! ONLINE














