GOMBAK – Tiga lelaki maut, manakala seorang wanita parah selepas kereta yang dinaiki mereka melanggar belakang lori simen di Kilometer 34, Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LPT) Karak menghala ibu negara berhampiran Kampung Sungai Chinchin di sini, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 2.07 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang bergegas ke lokasi dan tiba kira-kira pukul 2.35 pagi.
“Siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Volkswagen yang melanggar belakang lori simen. Empat mangsa tersepit dalam kenderaan tersebut.
“Seorang wanita berusia 27 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala selain patah kaki kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, tiga lagi mangsa lelaki berusia dalam lingkungan 20-an disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan. – KOSMO! ONLINE














