SHAH ALAM – Projek menaik taraf laluan motosikal tertua negara, Lebuh Raya Persekutuan (FT002) yang digunakan 35,000 pengguna setiap hari dijangka siap sepenuhnya pada Ogos depan.
Pelaksanaan projek bernilai RM20 juta bermula tahun lalu itu meliputi jajaran sepanjang 48 kilometer (km) bagi dua hala di daerah Petaling dan Klang.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek yang diluluskan menerusi Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) itu turut meliputi penurapan jalan, pemasangan lampu solar dan baik pulih longkang.
“Saya difahamkan laluan motosikal tertua dan terpanjang negara itu dibuka sejak 70-an dengan jumlah pengguna kira-kira 35,000 sehari.
“Justeru, penambahbaikan perlu dilakukan kerana laluan itu juga lokasi ‘black spot’ banjir. Projek itu kini mencapai 43 peratus dan diharap siap Ogos ini,” katanya pada sidang akhbar di laluan Batu Tiga di sini, petang ini.
Terdahulu, beliau bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor turut melakukan tinjauan bermotosikal di FT002 sekitar bandar raya ini.
Tambah Alexander, kerajaan turut sedang melakukan kajian terperinci untuk menaik taraf laluan motosikal di kawasan lain. – KOSMO! ONLINE














