Benarkah anak-anak zaman sekarang tidak pandai mengarang?
Tidak pernah selama ini dalam hati penulis berasa begitu ‘terpukul’ dengan kehebatan kuasa kecerdasan buatan (AI) atau ChatGPT dalam khabarnya menakluk masyarakat sehinggalah tular satu ungkapan kata baru-baru ini yang memberi gambaran masa depan bidang penulisan kreatif yang penulis sendiri ceburi dan cintai.
“Tiba-tiba terfikir… hebat juga kita dulu geng 80/90-an time sekolah boleh buat karangan panjang-panjang tak perlu guna AI pun. Tajuk ‘Aku Sebatang Pen’ pun boleh buat dua muka surat.”
Tulis seorang netizen bernama Gene Lee di Facebook Malaysia Education Info dengan menerima ribuan likes. Penulis juga melihat ‘statement’ itu ditularkan dalam pelbagai platform oleh individu-individu lain dan portal.
Daripada komen-komen yang ditinggalkan di Facebook, ia tampak dipersetujui ramai netizen pelbagai kaum.
Di sebalik bunyi kelucuan tersimpan satu realiti pedih. Kata seorang netizen Jacqueline Tam, zaman kita ada daya imaginasi yang tinggi. Sekarang terlalu bergantung kepada ChatGPT untuk buat karangan.
Gurmeet Sidhu berkata: Sekarang anak-anak saya guna ChatGPT sedih la.
Mengarang adalah suatu yang penulis sangat minati sejak di bangku sekolah rendah. Masih teringat saat menerima markah peperiksaan karangan sehingga berebut-rebut rakan yang lain mahu membaca karangan yang ditulis setelah diumumkan guru mendapat markah tertinggi.
Teringat juga bagaimana karangan terbaik ditampal di kelas lain untuk dijadikan rujukan di sekolah menengah.
Penulis tidak pasti adakah fenomena yang sama masih ada di sekolah-sekolah zaman sekarang.
Penulis cuba bertanyakan hal mengarang ini kepada rakan-rakan penulis yang bekerjaya guru atau dalam dunia pendidikan dan rata-ratanya bersetuju.
“Ya, sekarang budak nak buat karangan pun lemah. Sedih semua nak kena tanya chatGPT.
“Mereka malas nak berfikir. Bijak tapi nak mengarang tak bagus,” kata sahabat yang berkhidmat di Terengganu.
Seorang lagi guru di ibu kota berkongsi: Memang nampak ketara budak-budak tak banyak perbendaharaan kata. Isu utama gajet dan media. Sekarang memang budak tak rajin membaca. Nak tahu apa sahaja Google, lepas itu ChatGPT.
“Untuk rancakkan otak budak-budak sekarang makin mencabar. Ibu bapa pun tak ambil tahu,” ujarnya.
Seorang rakan yang merupakan guru di Selangor pula berkongsi karangan atau penulisan subjek Bahasa Melayu (BM) tidak mewakili jumlah markah yang besar sekali gus memberi gambaran anak-anak masih mampu skor subjek BM yang tinggi walaupun tidak pandai mengarang.
“Penulisan cumalah sebahagian daripada kertas BM dengan markahnya 10 untuk rumusan dan 20 untuk karangan,” katanya.
ChatGPT dilihat menjadikan anak-anak malas berfikir untuk mengarang apatah lagi mengeksplorasi keindahan bahasa. Semua penulisan menjadi seragam atau bernada robotik. Melihat situasi generasi sebegini, adakah ini tanda-tanda kita kini di ambang kiamat penulisan kreatif?
Hanya masa depan yang menentukan.














