PUCHONG – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengambil masa hampir tiga jam untuk mengawal kebakaran sebuah kilang kayu di Taman Putra Perdana di sini yang terbakar hampir 80 peratus, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.05 pagi.
Menurut beliau, jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya tiba di lokasi pada pukul 2.16 pagi.
“Operasi berjaya dikawal sebelum api dipadam sepenuhnya kira-kira pukul 5 pagi dan tiada mangsa dilaporkan terlibat,” katanya hari ini.
Katanya, operasi pemadaman turut dibantu anggota dari BBP Dengkil, Puchong dan Seri Kembangan dengan keseluruhan kekuatan seramai 28 anggota. – KOSMO! ONLINE














