fbpx
NUR SHAHEERAH (kiri) melayan pelanggan yang datang membeli pelbagai jenis juadah yang dijual RM3 sebekas di Seremban semalam.

Makan kenyang walau duit poket sedikit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Seorang peniaga menjual pelbagai makanan dan kuih-muih pada harga berpatutan iaitu RM3 sebekas bagi membantu orang ramai berjimat di Senawang, dekat sini ketika kos sara hidup semakin meningkat masa ini.

Antara juadah pilihan ­pelanggan ialah laksa, donut, vietnamese roll, popia, bergedil dan dumpling ayam.

Selain itu, nasi putih ayam berlada, nasi goreng cili api daging, nasi ikan keli, nasi ayam crispy, yong tau fu, ayam masak lemak cili api, makaroni serta a­neka kuih-muih dan pencuci mulut turut dijual.

Nur Shaheerah Mansor, 32, yang menjual makanan tersebut menggunakan lori berkata, idea itu tercetus selepas melihat orang ramai terutama pekerja sekitar kawasan itu mencari makanan pada harga mampu milik.

Katanya, sambutan diterima sangat menggalakkan terutama dalam kalangan pekerja berhampiran sehingga kebanyakan menu nasi habis terjual sebelum pukul 2 petang.

“Saya mula berniaga dari pukul 12 tengah hari hingga 6 petang dari Isnin hingga Jumaat. Biasanya sebelum 6 petang banyak makanan sudah habis.

“Ada pelanggan beli sebab nak cuba macam-macam makanan. Pada harga RM3, mereka rasa berbaloi dan puas hati sebab banyak pilihan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurutnya, dia mula berniaga sejak April tahun lalu di belakang Hospital Salam, Lavender Heights, Senawang di sini serta satu lagi lokasi di Sikamat.

“Konsep saya mudah, semua orang boleh makan dengan ke­nyang walaupun duit poket terhad.

“Sekarang kos hidup tinggi, jadi saya cuba bantu pelanggan dapat makanan sedap pada harga murah.

“Saya memang pernah kerja kedai makan dan kios sebelum ini. Bila tengok ramai orang susah dan vendor kecil perlukan sokongan, saya terdetik nak buat konsep lori makanan RM3 ini,” katanya.

“Walaupun harga yang dijual murah, saya tetap menitikberatkan aspek rasa dan kebersihan selain mendapatkan bekalan makanan daripada vendor
sekitar Seremban,” katanya.

Tambah graduan Diploma Teknologi Sistem Komputer dari Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Rembau itu, keuntungan diperoleh tidak besar, namun cukup untuk meneruskan perniagaan sambil membantu masyarakat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN