
MEKAH – Jangkitan paru-paru atau pneumonia dan penyakit kardiovaskular kekal antara kes paling tinggi direkodkan melibatkan jemaah haji Malaysia.
Ketua Pakar Perubatan Operasi Haji, Dr. Muhammad Taufiq Rosli berkata, penurunan sistem imun badan dalam kalangan jemaah haji menjadi antara faktor utama peningkatan risiko jangkitan penyakit, khususnya pneumonia.
“Keadaan itu menjadi lebih ketara apabila jemaah dari pelbagai negara berkumpul dalam jumlah jutaan dan mereka terdedah kepada pelbagai virus baharu yang mungkin belum mempunyai antibodi dalam badan.
“Bila sistem imun turun, mudah kuman menyerang. Tambahan pula di sini kita ada jutaan jemaah dari seluruh dunia. Banyak virus yang badan kita belum ada antibodi. Situasi itu menyebabkan kes pneumonia sering dilaporkan sepanjang musim haji.
“Selain itu, terdapat peningkatan kecil kes strok dan serangan jantung akibat tekanan darah tidak terkawal,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau turut mengingatkan jemaah agar tidak menangguhkan rawatan sekiranya mengalami gejala penyakit.
“Jangan tunggu sehingga keadaan teruk. Datang awal untuk rawatan supaya kita boleh cegah komplikasi,” katanya.
Beliau menekankan kepentingan pengambilan air mencukupi dan pematuhan jadual ubat sebagai langkah pencegahan utama.
Katanya, pasukan Rombongan Perubatan Haji musim 1447 Hijrah kini berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi bagi menghadapi kemuncak operasi ketika tempoh masyair, yang disifatkan sebagai fasa paling mencabar sepanjang musim haji.
“Keseluruhan tenaga perubatan yang merangkumi pelbagai kepakaran termasuk respiratori, kardiologi, psikiatri dan ortopedik telah disusun secara menyeluruh bagi memastikan perkhidmatan optimum kepada jemaah.
“Selain doktor pakar, setiap maktab turut dilengkapi pegawai perubatan, paramedik serta pasukan kecemasan yang beroperasi sepanjang masa. Struktur pasukan kita melibatkan klinik di maktab dengan sokongan pakar perubatan keluarga dan kecemasan. Kita juga menyelaras semua sektor termasuk farmasi dan pasukan pemindahan pesakit bagi memastikan operasi berjalan lancar,” katanya.
Katanya, persiapan rapi termasuk sesi taklimat berterusan kepada petugas baharu dilaksanakan memandangkan hampir 50 peratus beban tugas tertumpu ketika tempoh masyair.
“Fasa masyair walaupun singkat, kira-kira lima hari, namun ia merupakan kemuncak operasi. Justeru semua petugas perlu benar-benar bersedia dari segi fizikal dan mental,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














