PETALING JAYA – Kerja penyelenggaraan ke atas 26 buah tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya dilakukan secara berkala bagi memenuhi keperluan kira-kira 289,282 penumpang setiap hari terutama pada hari bekerja.
Ketua Pegawai Operasi LRT, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail), Nor Azmi Mohd. Yusof, berkata, malah ada ketika penggantian komponen tertentu dilakukan lebih awal bagi memastikan keselamatan pengguna sentiasa terjamin.
“Tren baharu pertama akan tiba di laluan Kelana Jaya pada tahun 2029 dan diganti sepenuhnya pada 2031. Jadi, fokus utama ketika ini adalah bagi mengelakkan sebarang gangguan teknikal pada semua tren dan keselamatan pengguna.
“Ini adalah langkah segera sementara menunggu penggantian tren baharu. Ada di antara tren ini sudah berusia 30 tahun kerana itu kami pastikan ia sentiasa berkeadaan baik,” katanya selepas mengadakan sesi taklimat media mengenai perkhidmatan dan penambahbaikan laluan Kelana Jaya di Kompleks Rapid Rail, di sini hari ini.
Tambah beliau, langkah itu penting berikutan transit LRT laluan Kelana Jaya adalah ‘tulang belakang’ perkhidmatan berkenaan di Lembah Klang, sekali gus mencatatkan jumlah pengguna paling tinggi.
“Peningkatan jumlah penumpang di laluan ini antara cabaran utama. Pihak pengurusan sentiasa berusaha menambah jumlah tren dalam operasi harian bagi mengurangkan tempoh menunggu serta mengawal kepadatan penumpang terutama pada waktu puncak.
“Apa sahaja prosedur dilakukan oleh Rapid Rail termasuk perkara melibatkan pemindahan ke tren lain disebabkan berlaku kerosakan, kita tidak akan berkompromi dengan keselamatan penumpang kerana ia keutamaan kami walaupun terpaksa berdepan kelewatan” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














