GOMBAK – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi jaminan akan terus memperketat penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan di laluan terhad terutama pada waktu puncak.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma berkata, pihaknya juga sudah membuat permohonan kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi termasuk PLUS untuk memperbanyakkan kawasan parkir khas bagi lori serta kenderaan berat.
Menurutnya, perkara itu penting bagi mengelakkan pemandu lori meletakkan kenderaan di kawasan tidak dibenarkan sehingga mengundang risiko kemalangan.
Katanya, pihak JPJ sentiasa melaksanakan penguatkuasaan di laluan terhad bermula seawal pukul 6.30 hingga 9.30 pagi bagi memastikan kenderaan berat mematuhi larangan penggunaan laluan tertentu pada waktu puncak.
“Semasa anggota kami berada di lokasi, lori-lori ini akan cuba mengelak menggunakan laluan berkenaan. Namun ada ketikanya mereka berhenti atau meletakkan kenderaan di kawasan yang tidak dibenarkan.
“Jika dikesan, kami akan mengeluarkan saman serta-merta dan mengarahkan lori terlibat beralih ke lokasi parkir yang dibenarkan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun mengakui, terdapat situasi di mana pemandu lori dipercayai hanya berhenti selepas anggota penguat kuasa meninggalkan lokasi, sekali gus menyukarkan pemantauan berterusan.
“Saya telah memaklumkan perkara ini kepada pihak LLM dan konsesi lebuh raya supaya memperbanyakkan kawasan parkir untuk kenderaan perdagangan, khususnya sebelum memasuki laluan terhad.
“Kita perlukan lebih banyak kemudahan parkir kerana jika tiada pilihan, ada pemandu mengambil keputusan berhenti di lokasi yang tidak sesuai,” ujarnya.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) berhampiran Plaza Tol Ebor Utara, pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu berlaku ketika mangsa, Afiq Safwan Sabri, yang bekerja sebagai jururawat dalam perjalanan ke tempat kerja di Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA) UiTM.
Larangan pergerakan kenderaan berat telah diperluaskan pada waktu puncak di beberapa jajaran lebuh raya terpilih bermula 19 Februari tahun lalu bagi melancarkan pergerakan trafik. – KOSMO! ONLINE














