fbpx
Aliran berbuih yang dikesan di kawasan premis yang memasuki Sungai Kabul.

Kolam rawatan rosak punca Sungai Kabul tercemar, berbuih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Kerosakan sistem kolam rawatan sebuah premis kitar semula plastik di kawasan perindustrian Mahkota Beranang dekat sini menjadi punca aliran air berwarna, berbau dan berbuih di Sungai Kabul di sini baru-baru ini.

Insiden itu dikesan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) kira-kira pukul 12.30 tengah hari, Ahad lalu susulan rutin pemantauan selama 24 jam.

LUAS berkata, kerosakan itu menyebabkan bahan pencemar tersebut melimpah masuk ke dalam sistem perparitan dan seterusnya ke dalam Sungai Kabul.

Katanya, ia memberi risiko gangguan kepada operasi loji rawatan air (LRA) terhampir iaitu LRA Sungai Semenyih.

“Semakan di dalam premis terlibat mendapati terdapat kerosakan kepada kelengkapan kolam rawatan premis dan keadaan menjadi lebih buruk susulan hujan lebat di kawasan berkenaan. Ini menyebabkan limpahan daripada kolam rawatan tersebut mengalir masuk ke sistem perparitan berhampiran dan seterusnya ke dalam Sungai Kabul,” katanya hari ini.

Menurut LUAS, arahan dikeluarkan kepada premis tersebut untuk menghentikan operasi dan melaksanakan kawalan pelepasan di premis serta merta mengikut Seksyen 121(1), Enakmen LUAS 1999.

Tambahnya, pemantauan intensif turut diaktifkan di kawasan Sungai Kabul dan Semenyih, serta melaksanakan penggunaan activated carbon (AC) di Sungai Kabul bagi tujuan nyahbau.

“Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) telah diaktifkan dengan pengepaman air kolam bagi penyaluran sumber air terus kepada LRA Sungai Semenyih sebagai langkah mitigasi segera bagi memastikan tiada gangguan bekalan air mentah kepada loji. Pensampelan di lokasi sungai dan premis telah dibuat dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) bagi analisis untuk tindakan penguatkuasaan lanjut,” ujarnya.

Mengulas lanjut, kata LUAS, kerja-kerja penyedutan dan pembersihan terlibat telah mencapai tahap 90 peratus sehingga pukul 7 malam tadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN