SHAH ALAM – Sejumlah 3,477 permohonan lesen diterima daripada premis yang berpotensi mengikuti Dasar Pelepasan Sifar (ZDP) bagi mengawal pencemaran air di Selangor setakat hujung bulan lalu (27 Mei lalu).
Lembaga Urus Air Selangor berkata, jumlah tersebut mewakili 10 peratus daripada 30,000 premis yang dianggarkan daripada 13 aktiviti yang diwajibkan dalam usaha memulihara sumber air terutama melibatkan sungai-sungai di negeri ini.
Melalui ZDP katanya, semua pengusaha atau pemilik adalah digalakkan untuk mengurangkan jumlah isi padu efluen yang dilepaskan premis mereka.
“Pendekatan ini berlandaskan prinsip ‘polluters pay’ iaitu premis yang melepaskan air buangan dikenakan caj berdasarkan jumlah dan tahap pencemaran pelepasan tersebut.
“Ia selaras dengan Peraturan-Peraturan Pelesenan Pembuangan Air Kembalian dan Kemasukan Atau Pelepasan Bahan Buangan dan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) 2024 yang telah diwartakan pada 20 Jun tahun lalu,” katanya dalam kenyataan kepada Kosmo!.
LUAS menegaskan, denda maksimum RM50,000 atau hukuman penjara sehingga dua tahun akan dikenakan terhadap premis yang tidak mendapatkan lesen di bawah peraturan baharu Dasar Pelepasan Sifar (ZDP).
Kosmo! melalui laporan ekslusif pada 8 September 2020 melaporkan bekas Pengarah LUAS, Datuk Ir. Hashim Osman memaklumkan semua kilang di Selangor bakal melaksanakan ZDP dengan mengkehendaki setiap kilang melakukan kitar semula sisa air kumbahan mereka.
Dalam pada itu, LUAS memaklumkan, ZDP adalah amalan pengurusan terbaik dalam mengaplikasikan penggunaan teknologi hijau.
“Dari segi kos, penggunaan sistem teknologi seperti sistem rawatan akan melibatkan perbelanjaan yang agak tinggi pada peringkat awal bergantung kepada jenis industri, saiz operasi, dan teknologi rawatan air buangan yang diperlukan.
“Kos ini merangkumi pembinaan sistem rawatan, pengubahsuaian infrastruktur, serta kos operasi dan penyelenggaraan berkala,” katanya.














