fbpx
TUNKU MAHKOTA ISMAIL mencemar duli melakukan gimik Majlis Pecah Tanah Pusat Latihan JDT di Iskandar Puteri hari ini.-Foto RAJA JAAFAR ALI

Tunku Mahkota Ismail cemar duli pecah tanah pusat latihan baharu JDT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISKANDAR PUTERI – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Pecah Tanah pembangunan pusat latihan baharu Johor Darul Ta’zim FC (JDT) di di sini hari ini.

Turut mengiringi keberangkatan Baginda, Raja Muda Johor, Tunku Iskandar dan Tunku Abu Bakar.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia berkata, pusat latihan moden yang dibangunkan di kawasan seluas 15.78 hektar berhadapan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) itu bakal menjadi hab pembangunan bola sepak bertaraf antarabangsa bagi kelab berkenaan.

Jelasnya, kemudahan tersebut akan dilengkapi beberapa padang latihan berkualiti tinggi, fasiliti latihan tertutup, pusat sains sukan, pusat pemulihan dan rehabilitasi, gimnasium, pusat analisis prestasi, pusat perubatan serta stadium mini.

“Pembangunan berpusat latihan ini turut menempatkan penginapan pemain, auditorium serta ruang pembangunan akar umbi dan skuad akademi JDT daripada peringkat junior sehingga senior.

Pembangunan itu mencerminkan visi berterusan Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik JDT dalam memastikan kelab berkenaan terus berkembang sebagai pasukan bola sepak profesional kompetitif di peringkat domestik dan antarabangsa.

“Pusat latihan baharu itu merupakan satu detik istimewa buat seluruh warga JDT dalam usaha meningkatkan standard dan teknologi bola sepak profesional di kelab berkenaan,”katanya ketika ditemui selepas Majlis Pecah Tanah Pusat Latihan JDT di sini hari ini.

Garcia berkata, projek pembangunan fasiliti tersebut dijangka siap dalam tempoh antara dua setengah hingga tiga tahun sebelum digunakan sepenuhnya oleh semua pasukan JDT.

“Kami mahu menyediakan kemudahan terbaik buat pemain termasuk dari aspek teknologi, sains sukan, rehabilitasi dan pembangunan prestasi kerana itu adalah cara untuk terus berkembang.

“Pusat latihan ini bukan sahaja untuk skuad utama, malah turut melibatkan JDT II dan akademi supaya pemain muda dapat merasai hubungan rapat dengan pemain senior yang menjadi inspirasi mereka,” katanya.

Beliau berkata, JDT akan terus memastikan fasiliti baharu itu dilengkapi teknologi terkini termasuk penggunaan sistem analisis prestasi dan pemantauan kecergasan pemain yang lebih moden selari perkembangan teknologi semasa.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN