IPOH – Kerajaan negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) memeterai Memorandum Kerjasama Strategik (MOC) bersama Shuifa Energy Group Co. Ltd. bagi merealisasikan prospek pelaburan mencecah RM200 juta dalam pembangunan projek tenaga boleh baharu berasaskan konsep floating aqua-voltaic.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, majlis pemeteraian memorandum itu merupakan sebahagian daripada Misi Perdagangan dan Pelaburan Kerajaan Negeri Perak ke Shandong, China.
Katanya, ia mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh hubungan pelaburan strategik khususnya dalam sektor tenaga hijau, kelestarian serta pembangunan ekonomi berimpak tinggi.
“Memorandum ini menjadi asas kepada kerjasama antara Perak SADC dan Shuifa untuk menilai potensi pembangunan projek yang menggabungkan penjanaan tenaga solar, penggunaan tanah dan kawasan kolam atau bekas lombong secara optimum serta aktiviti akuakultur secara mampan.
“Fokus awal kerjasama adalah penerokaan projek floating aqua-voltaic berkapasiti 30 megawatt puncak (MWp) di Tanjong Tualang, Perak tertakluk kepada kajian kebolehlaksanaan, kelulusan pihak berkuasa dan pemuktamadan perjanjian komersial,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Saarani berkata, Shuifa telah menyatakan hasrat pelaburan awal secara indikatif sekitar RM180 juta hingga RM200 juta dalam tempoh tiga tahun.
“Shuifa merupakan sebuah syarikat milik kerajaan wilayah Shandong yang mempunyai pengalaman dalam sektor air, pertanian moden, tenaga bersih dan perlindungan alam sekitar.
“Kerjasama ini juga dijangka membuka ruang kepada perkongsian kepakaran teknikal, pelaburan dan teknologi dalam pembangunan projek tenaga boleh baharu di negeri Perak,” katanya.
Pemeteraian memorandum itu melibatkan kajian teknikal, komersial, undang-undang dan kawal selia bagi menilai daya maju projek, termasuk struktur kerjasama, model pelaksanaan, keperluan kelulusan dan manfaat kepada komuniti setempat.
Misi Perdagangan dan Pelaburan Kerajaan Negeri Perak ke China yang berlangsung dari 17 hingga 24 Mei ini turut merangkumi beberapa sesi padanan perniagaan serta lawatan strategik berkaitan sektor automotif, bandar pintar, teknologi digital dan pusat data.
Ia sebagai usaha memperluas jaringan pelaburan serta meneroka peluang kerjasama baharu yang berpotensi memberi nilai tambah kepada pembangunan ekonomi negeri. – KOSMO! ONLINE














