PARIT – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Hospital Seri Iskandar yang dibina dengan kos RM162.3 juta tanpa sebarang kelewatan pembinaan.
Hospital itu mula beroperasi sepenuhnya sejak Disember 2024 yang memberi manfaat kepada lebih 94,000 penduduk di 12 mukim di Perak Tengah meliputi kawasan penduduk sehingga lebih 30 kilometer.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad semasa sembah ucapannya berkata, hampir 40,000 orang pesakit telah hadir mendapatkan rawatan di hospital tersebut.
“Jika dahulu, warga emas dari Pasir Salak atau ibu-ibu dari Pulau Tiga mungkin terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan pakar, kini kemudahan bertaraf dunia sudah berada di depan mata mereka,” katanya.
Tambahnya, Hospital Seri Iskandar merupakan satu daripada projek infrastruktur dalam Rancangan Malaysia Ke-10.
Menurut Kementerian Kesihatan, Hospital Seri Iskandar merupakan sebuah hospital tanpa pakar yang dibina bagi menggantikan peranan Hospital Changkat Melintang yang telah beroperasi sejak tahun 1971.
Kata Dzulkefly, pembinaan itu adalah usaha kementerian merapatkan jurang perkhidmatan antara bandar dan luar bandar, agar rakyat di daerah Perak Tengah dapat menikmati perkhidmatan kesihatan dengan adil dan saksama. – KOSMO! ONLINE














