KUALA LUMPUR – Ketiadaan beberapa nama besar pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil tidak membuatkan beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berasa terlalu selesa.
Sebaliknya, juara dunia tahun lalu itu tetap berwaspada dengan ancaman beberapa gandingan lain termasuk pasangan No.3 dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran.
Ee Wei berkata, mereka enggan terlalu memikirkan mengenai pemain-pemain lain dan hanya mahu memberikan sepenuh tumpuan terhadap aksi sendiri di dalam gelanggang kerana dia tahu apa sahaja boleh berlaku.
“Apa yang penting sekarang adalah kami perlu mempersiapkan diri sendiri dan tidak kisah bertemu dengan siapa pun. Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke dalam gelanggang, kami akan memberikan segala-galanya.
“Kemungkinan (bertemu Dechapol-Supissara) itu masih jauh lagi kerana apa sahaja boleh berlaku. Buat masa sekarang, kami hanya perlu bersedia dan memberikan tentangan kepada sesiapa sahaja,” katanya.
Pada edisi tahun lalu, Tang Jie dan Ee Wei beraksi bersama pasangan berbeza apabila mereka dipisahkan buat seketika sebelum kembali membentuk gandingan sehingga berjaya menjadi juara dunia.
Sementara itu, Tang Jie mengakui teruja untuk beraksi di laman sendiri dan sedia melakukan yang terbaik bagi tidak menghampakan penyokong-penyokong yang mengharapkan pemain negara meraih gelaran.
“Sudah tentu saya tidak sabar untuk bermain di laman sendiri dan mahu mempamerkan aksi terbaik. Memang kami ada banyak kejohanan tetapi bermain di tempat sendiri, perasaannya agak berbeza,” ujarnya.
Menjelang aksi pusingan pertama esok, Tang Jie-Ee Wei dijangka tidak berdepan banyak masalah untuk meneruskan kemaraan apabila dijadualkan bertemu beregu No.56 dunia dari Kanada, Jonathan Lai-Crystal Lai. – KOSMO! ONLINE














