fbpx
Zurkarnain ketika berucap pada kempen pencegahan vandalisme infrastruktur peringkat negeri Selangor di Shah Alam. Foto oleh SADDAM YUSOFF / KOSMO!

Gombak, Bangi lokasi panas vandalisme, curi kabel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Isu vandalisme dan kecurian infrastruktur telekomunikasi di Selangor masih berada di tahap membimbangkan meskipun jumlah kes yang direkodkan kekal tinggi walaupun menunjukkan penurunan.

Penasihat Kanan Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Zurkarnain Mohd. Yasin berkata, sebanyak 1,836 kes direkodkan pada tahun 2024 manakala 1,273 kes direkodkan pada tahun 2025.

Katanya, angka berkenaan meletakkan Selangor antara negeri yang merekodkan jumlah insiden tertinggi di negara ini, sekali gus memerlukan tindakan penguatkuasaan dan pencegahan yang lebih berkesan.

“Dari sudut yang lebih luas, gangguan terhadap infrastruktur ini turut memberi kesan kepada sektor ekonomi dan industri.

“Selain menjejaskan operasi perniagaan, industri telekomunikasi sendiri menanggung kerugian melebihi RM20 juta setiap tahun bagi kerja-kerja pembaikan dan pemulihan infrastruktur yang rosak atau dicuri,” katanya ketika berucap sempena kempen pencegahan vandalisme infrastruktur peringkat negeri Selangor di sini, hari ini.

Kempen itu dirasmikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, beberapa kawasan di negeri ini turut dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi yang mengalami insiden berulang, termasuk di kawasan seperti Rawang, Gombak dan Bangi.

Malah katanya, terdapat situasi di beberapa kawasan termasuk di Sungai Tekali, Hulu Langat yang mengalami tempoh gangguan perkhidmatan lebih panjang susulan kecurian peralatan telekomunikasi melibatkan komponen kritikal seperti microwave transmission dan peralatan rangkaian tertentu.

“Dalam keadaan tertentu, peralatan tersebut perlu ditempah dari luar negara dan proses penghantaran serta pemasangan semula memerlukan tempoh masa tambahan sebelum perkhidmatan dapat dipulihkan sepenuhnya,” jelasnya.

Sementara itu, Amirudin berkata, lebih 100 insiden masih direkodkan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, namun angka itu menunjukkan pengurangan berbanding tempoh sama sebelum ini.

Ujarnya, kerajaan negeri kini memberi tumpuan kepada penglibatan masyarakat awam sebagai sebahagian strategi membanteras kegiatan kecurian dan vandalisme infrastruktur digital.

“Usaha tersebut penting bagi memastikan agenda negeri pintar Selangor tidak terjejas dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN