SEPANG- Kesemua 150 aktivis Global Sumud Flotila (GSF) termasuk 16 rakyat Malaysia yang dipintas Israel hari ini dipercayai ditahan di ‘penjara atas kapal’ sebelum dibawa ke Pelabuhan Ashdod untuk proses dokumentasi dan pengusiran.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Commad Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, pihaknya menjangkakan kesemua aktivis itu akan ditahan sekurang-kurangnya 48 jam sebelum dibawa ke daratan.
Katanya, penjara atas kapal itu merujuk kepada kapal besar milik Israel yang boleh memuatkan ramai orang seterusnya dapat dijadikan sebagai sel tahanan.
“Saya menjangkakan mereka akan bawa ke penjara atas kapal. Dia (Israel) akan buat sesuatu (kepada peserta GSF).
“Kalau dibawa terus ke Ashdod, mereka terikat dengan undang undang baharu yang memerlukan tahanan dilepaskan dalam tempoh 24 jam,” katanya pada sidang media di sini malam ini.
Kata beliau, tindakan menempatkan tahanan di atas kapal merupakan helah untuk membolehkan Israel menahan aktivis lebih lama tanpa tekanan perundangan, sekali gus mampu membangkitkan kemarahan masyarakat dunia.
“Bagi saya, lagi lama mereka tahan, lagi lama dia akan berdepan kemarahan dunia. Malaysia jika tidak marah, kita akan menyaksikan Sepanyol, Itali serta Turkiye.
“Malah sehingga tadi, kita telah memeriksa tidak ada helikopter dan tiada tembakan yang mencemaskan. Jadi, Israel sedaya mungkin cuba tidak mahu untuk dikatakan mereka akan berbuat jahat,” katanya.
Terdahulu, Media Israel Channel 12 melaporkan, kesemua aktivis yang ditahan akan dipindahkan ke pelabuhan Ashdod untuk proses lanjut.
Pihak berkuasa Tel Aviv turut memaklumkan operasi mengambil alih keseluruhan 54 kapal dalam flotila itu dijangka berlarutan sehingga esok. – KOSMO! ONLINE














