fbpx
Jegan (kiri) menujukkan modus operandi sindiket penyelewengan diesel bersubsidi ketika serbuan di sebuah stor pemborong berlesen di Nibong Tebal, hari ini. Foto oleh DANIAL SAAD

Sindiket seleweng diesel guna lori ‘mati’, kad fleet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Sindiket penyelewengan diesel bersubsidi dikesan menggunakan kad fleet bagi lori yang tidak bergerak semata-mata untuk membeli bahan api itu secara berulang di sebuah stesen minyak berhampiran stor pemborong berlesen di Nibong Tebal, di sini.

Kegiatan tersebut terbongkar selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang melancarkan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) bersama Cawangan Khas E5 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.

Pengarahnya, S. Jegan berkata, sindiket dipercayai menjadikan stor pemborong itu sebagai lokasi pemindahan diesel daripada prime mover yang mengisi minyak di stesen minyak berdekatan menggunakan kad fleet secara pembelian berulang.

Menurutnya, modus operandi sindiket terbabit adalah menggunakan kad fleet yang didaftarkan atas lori-lori syarikat bagi membeli diesel mengikut kuota dibenarkan sebelum dipindahkan ke dalam ‘skid tank’ di stor berkenaan.

“Siasatan mendapati lori-lori itu sebenarnya tidak bergerak dan hanya digunakan untuk mengisi diesel. Mereka menggunakan tangki asal pada kepala lori sebelum minyak dipindahkan semula ke skid tank di stor terbabit.

“Disebabkan lokasi stor dan stesen minyak sangat dekat, pengisian diesel boleh dilakukan berulang kali dalam tempoh singkat tanpa menimbulkan syak wasangka,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil risikan dan pemantauan selama tiga minggu membawa kepada serbuan yang menemukan 13 kad fleet di lokasi kejadian.

Katanya, pihak penguatkuasa turut menyita tiga prime mover, lima skid tank, pam, televisyen litar tertutup (CCTV), resit pembelian dan beberapa dokumen perniagaan bagi membantu siasatan.

“Turut ditemukan cecair disyaki diesel sebanyak 10,600 liter di dalam skid tank dan tangki asal prime mover dengan nilai rampasan barang kawalan dianggarkan RM53,000. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM205,000,” katanya.

Beliau memberitahu, seramai tujuh lelaki tempatan termasuk pemilik premis berusia lingkungan 50 hingga 60 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Peraturan 3(1) dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN