SHAH ALAM – Semua ladang babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat dijangka dikosongkan dan ditutup sepenuhnya menjelang akhir Jun ini sebelum fasa penguatkuasaan dilaksanakan bermula pada 1 Julai ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Sepat, Borhan Aman Shah berkata, sebelum ini kerajaan negeri memberi kelonggaran selama enam bulan kepada pengusaha terlibat untuk menyelesaikan urusan termasuk menjual ternakan mereka.
Katanya, kelonggaran itu diberikan berikutan terdapat pengusaha memohon masa tambahan kerana masih mempunyai ternakan termasuk anak babi yang baru lahir untuk diuruskan dan dijual.
“Kerajaan negeri sudah beri peluang selama enam bulan kerana mereka memaklumkan masih ada urusan yang perlu diselesaikan. Selepas tamat tempoh itu, penguatkuasaan akan dilaksanakan,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas perkembangan isu ladang babi di Tanjong Sepat termasuk dakwaan terdapat premis yang masih belum berpindah.
Terdahulu, Borhan yang juga Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kerajaan Selangor di sini hari ini.
Borhan berkata, sebahagian premis juga sudah ditutup dan tindakan lanjut akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi arahan yang ditetapkan kerajaan negeri.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kekal dengan pendirian tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor seperti yang ditegaskan sebelum ini.
Sehubungan itu, baginda menegaskan agar isu penternakan babi ini dihentikan dan dimuktamadkan sepenuhnya bagi mengelakkan keresahan masyarakat dan memastikan keamanan dan keharmonian rakyat di Selangor terus terpelihara. – KOSMO! ONLINE














